500,000 guru tetap bertugas - Utusan Malaysia

500,000 guru tetap bertugas

DR. HABIBAH ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih  500,000 guru dan pensyarah seluruh sekolah dan institusi pendidikan perlu terus bertugas bagi memastikan lima juta murid dan pelajar mendapatkan pendidikan dalam tempoh penutupan sekolah sehingga 17 dan 18 Disember ini

Tempoh penutupan lebih sebulan itu tidak boleh dianggap ‘cuti sekolah’, sebaliknya pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, pendekatan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PDPR) perlu berjalan setiap hari menggunakan pelbagai kaedah yang dirasakan bersesuaian iaitu tidak semestinya melalui dalam talian atau menggunakan gajet.

Dalam hal itu, beliau meminta supaya pentadbir sekolah perlu memastikan guru dan murid melaksanakan PdP menerusi PDPR.

“Tempoh ini tidak boleh dianggap cuti sekolah, ia masih sesi persekolahan biasa cuma pendekatan berbeza. Kita telah pun mengeluarkan panduan supaya guru terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Manual pembelajaran boleh dirujuk melalui portal kementerian. Ada pelbagai pendekatan PDPR ini boleh berlaku kerana kita maklum terdapat jurang akses peranti dan rangkaian yang menyukarkan pelajar dan guru,” katanya di sini semalam.

Menurut Habibah, selain menggunakan pelantar digital menerusi aplikasi Delima, mereka boleh menggunakan pendekatan luar talian melalui pembelajaran buku teks dan aktiviti yang disediakan oleh pihak sekolah.

Beliau berkata, justeru, guru-guru perlu bekerja di stesen tempat bertugas masing-masing kerana mereka tidak boleh mengambil kira sebagai tempoh bercuti. 

Katanya, bagi guru yang perlu menggunakan bahan atau kemudahan di sekolah, mereka boleh berbuat demikian untuk pergi ke sekolah dengan kelulusan dan penjadualan yang dibuat oleh pihak guru besar atau pengetua sekolah masing-masing.

Namun, katanya, jika tidak ada keperluan itu, maka guru-guru perlu bekerja dari rumah.

“Kementerian tidak meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada guru-guru untuk melaksanakan PDPR ini kerana tidak mahu memberikan tekanan, sebaliknya kita mengesyorkan pihak pentadbir sekolah untuk memantau bagaimana guru boleh melaksanakan PDPR.

“Ada sekolah yang membuat pemantauan secara harian, juga di peringkat negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri  (JPN),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN