200,000 warga asing bolos - Utusan Malaysia

200,000 warga asing bolos

SERAMAI 23 suspek termasuk Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dikawal Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk perintah tahanan reman kes pemalsuan cap pasport warga asing di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 sehingga 200,000 warga asing  ‘dilepaskan’ untuk terus tinggal di negara ini tanpa melalui tapisan yang betul.

Mereka  dikesan masih berada di negara ini meskipun pasport dan permit kerja telah tamat tempoh manakala sebahagian lagi berjaya ‘melepasi’ pintu masuk untuk bekerja di sini.

Kesemua warga asing ini terdiri warganegara China, Bangladesh dan Pakistan itu  dengan mudah mendapatkan ‘keistimewaan’ apabila terdapat pegawai Jabatan Imigresen yang gelap mata sanggup menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara.

Lebih mengejutkan, pegawai Imigresen yang terdiri daripada kumpulan gred 19 sehingga 32 itu sanggup ‘bersekongkol’ dengan lebih 10 ejen yang berperanan sebagai ‘orang tengah’ dengan menerima upah dipercayai antara RM5,000 sehingga RM20,000 sehari.

Malah, kegiatan yang aktif dijalankan sejak dua tahun lalu itu turut menyasarkan dua lapangan terbang utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta Kompleks Imigresen dan Kastam (CIQ) untuk melakukan aktiviti tersebut.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memberitahu, bagi melancarkan kegiatan ini dua modus operandi digunakan iaitu membabitkan penggunaan ‘pasport terbang’ dan kaunter khas di pintu masuk negara dengan bayaran RM100 sehingga RM300 dikenakan oleh ejen  kepada warga asing ini.

Sumber berkata, melalui kaedah pertama ejen ini  akan mengumpulkan dokumen perjalanan sama ada yang sudah tamat tempoh atau menggunakan pas lawatan sosial untuk dibawa ke pejabat imigresen tertentu, sebelum diberikan cap keluar masuk palsu.

Tindakan itu, kata sumber, untuk membolehkan visa dikeluarkan kepada pekerja asing disambung malah melalui urusan ini, hanya pasport sahaja yang sampai ke pejabat Imigresen tanpa kehadiran warga asing itu sebagai pengesahan keluar atau masuk, seperti mana yang disyaratkan.

“Kaedah kedua pula menggunakan kaunter khas atau ‘setting counter’ yang biasa berlaku di KLIA dan KLIA2 dan di sini mereka akan menyasarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disenarai hitam dan sudah tamat tempoh visa,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tidak berdiam diri, hasil radar pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dan bermulanya penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 18 Mac lalu, satu operasi khas yang dinamakan Op Selat dilancarkan bagi mengekang aktiviti itu.

Operasi ini adalah ‘sting operation’ yang dijalan hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar utama negara khususnya di dua lapangan terbang utama dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru.

Hasil daripada itu, sumber berkata, sebanyak 46 orang tangkapan di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak selain menyita akaun, kereta dan pelbagai barangan bernilai anggaran RM1 juta dan sekali gus aktiviti berkenaan berjaya dilumpuhkan.

Kata sumber itu, kesemua mereka yang ditahan terdiri 27 pegawai Imigresen dan 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah.

“Aktiviti rasuah di kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan dan mereka ini menumpukan warga asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.

“Mereka mengambil kesempatan susulan banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau PATI untuk pulang ke negara asal mereka tanpa melalui SOP yang betul.

“Tidak mustahil juga, mereka yang terlepas masuk ini juga antara warga asing yang terlibat dengan pelbagi aktiviti haram seperti pelacuran, rumah urut dan lain-lain sehingga boleh menganggu gugat keselamatan negara ini,” jelasnya.

Terdahulu, sebanyak 44 individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan utama negara.

Antara mereka yang ditahan ada direman selama tiga, empat, lima dan tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN