Sekolah masih selamat, terkawal – NUTP

Sekolah masih selamat, terkawal – NUTP

FOUZI SINGON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memberi jaminan aspek keselamatan di sekolah masih terkawal.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, insiden kes tikam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Banting baru-baru ini merupakan kes terpencil dan tidak seharusnya menggugat keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka di sekolah.

Beliau berkata, data menunjukkan golongan pelajar yang mempunyai kecenderungan atau berisiko tinggi adalah sangat kecil dan majoriti besar murid sekolah tidak terlibat dengan kecenderungan agresif sedemikian.

Katanya, bagi memastikan kumpulan kecil ini tidak mencetuskan ancaman, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memperkasa peranan guru disiplin dengan menyemak semula masa mengajar mereka selain mempelbagaikan ujian psikologi murid yang tidak hanya tertumpu kepada program minda sihat semata-mata.

“Di sekolah mungkin tidak sampai tiga peratus daripada murid yang berisiko. Kumpulan ini perlu dikawal dan diketahui oleh semua pihak yang terlibat dan mendapat bantuan psikologi daripada guru bimbingan kaunseling sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai keperluan untuk mengadakan pemeriksaan beg, Fouzi berkata, prosedur operasi standar (SOP) sedia ada sudah memadai.

Bagaimanapun katanya, terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula risiko yang membolehkan peristiwa seperti itu berlaku dalam kawasan sekolah demi memastikan keyakinan ibu bapa tidak tergugat.

Pada masa sama jelasnya, faktor keselamatan guru juga perlu diambil kira kerana tugas tersebut mendedahkan mereka kepada bahaya.

“Jika murid membawa pisau atau senjata sudah tentu ramai tidak mengambil risiko untuk mencegah atau mendapatkannya. Satu SOP harus dibuat untuk kes sebegini.

“Penguatkuasaan terhadap barangan larangan harus diperketatkan dengan melarang sama sekali murid daripada membawa sebarang alatan tajam dan berbahaya seperti gunting atau pisau kecil yang boleh mendatangkan kemudaratan,” katanya.

Media melaporkan pada Isnin, seorang pelajar berusia 15 tahun cedera selepas dipercayai ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu serta kini menerima rawatan di Hospital Banting.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan mangsa yang disahkan peguam menghidap autisme kini menjalani rawatan selepas suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN