Aktiviti lasak tingkat risiko kecederaan sendi pinggul golongan muda

Aktiviti lasak tingkat risiko kecederaan sendi pinggul golongan muda

DR. Muhammad Hafiz Daud menunjukkan bahagian tulang pinggul yang sering menghadapi masalah akibat aktiviti lasak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Gaya hidup aktif penting untuk kesihatan, namun aktiviti lasak tanpa persediaan fizikal mencukupi boleh meningkatkan risiko kecederaan pada usia muda.

Ramai golongan muda hari ini menganggap diri mereka masih kuat dan kebal sehingga cenderung tidak menilai tahap kecerdasan serta risiko kecederaan ketika bersukan.

Ia semakin membimbangkan apabila ramai hanya mengamalkan gaya hidup sedentari sepanjang hari bekerja sebelum melakukan aktiviti berintensiti tinggi secara mendadak pada hujung minggu.

Akibatnya, semakin ramai golongan muda berusia 20 hingga 30 tahun mengalami kecederaan sendi pinggul yang sebelum ini lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berusia 40 hingga 50 tahun.

Pakar Bedah Ortopedik, Artroskopi dan Kecederaan Sukan dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Muhammad Hafiz Daud berkata, kebanyakan kes bukan berpunca daripada proses penuaan atau osteoarthritis, sebaliknya akibat konflik pada sendi pinggul sehingga menyebabkan koyakan tisu.

“Kebanyakan pesakit yang saya rawat mengalami masalah Femoroacetabular Impingement (FAI). Pergerakan yang lebih ekstrem atau sukan yang memerlukan banyak pergerakan berpusing dengan cepat meningkatkan risiko kecederaan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SUKAR DIKESAN

Mengulas mengenai simptom awal, Dr. Muhammad Hafiz berkata, konflik pada sendi pinggul boleh menyebabkan kecederaan pada selaput yang melapisi sendi sehingga pesakit mula mengalami kesakitan ketika melakukan aktiviti tertentu.

“Biasanya pesakit akan mengalami kesakitan ketika melakukan pergerakan tertentu sahaja. Contohnya bagi gimnas, mereka akan mula berasa sakit apabila melakukan pergerakan seperti split, manakala pemain bola sepak ketika menendang bola atau membuat pergerakan pantas.

“Di luar itu, mereka masih boleh berjalan dan menjalani rutin harian seperti biasa. Sebab itu ramai daripada mereka tidak datang mendapatkan rawatan pada peringkat awal,” katanya.

TANGGUH RAWATAN

Menurut Dr. Muhammad Hafiz, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas mengalami kesakitan dalam tempoh yang lama kerana menganggap masalah tersebut sekadar kecederaan biasa akibat aktiviti berlebihan.

Katanya, kebanyakan pesakit masih mampu mengawal kesakitan pada peringkat awal dengan mengelakkan posisi atau pergerakan tertentu yang mencetuskan sakit pada sendi pinggul.

“Kebanyakan pesakit tidak mengambil apa-apa tindakan kerana sakit itu masih boleh dikawal. Bila mereka mengelak daripada posisi tertentu, sakit itu tidak terlalu mengganggu.

“Apabila sakit mula berterusan atau koyakan menjadi semakin besar sehingga mengganggu aktiviti harian barulah mereka datang mendapatkan rawatan. Mungkin itu sebabnya ramai pesakit lambat mendapatkan rawatan,” katanya.

PEMERIKSAAN LANJUT

Berhubung pemeriksaan sinar-X, beliau berkata, kebiasaannya ia tidak menunjukkan sebarang masalah pada sendi pinggul pesakit muda kerana kecederaan yang berlaku melibatkan bahagian dalaman sendi.

Katanya, diagnosis biasanya memerlukan pemeriksaan lebih terperinci seperti Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) atau ultrabunyi bagi mengesan koyakan pada tisu sendi pinggul.

“Biasanya, saya akan melakukan pemeriksaan pergerakan sendi pinggul dan pemeriksaan klinikal khas bagi mengenal pasti punca sebenar kesakitan.

“Pemeriksaan khas terutama MRI adalah penting untuk mengesahkan sama ada terdapat koyakan dalam sendi pinggul,” katanya.

RAWATAN KONSERVATIF

Mengulas pendekatan rawatan bagi masalah sendi pinggul bukan artritis, Dr. Muhammad Hafiz berkata, rawatan awal biasanya dimulakan secara konservatif termasuk fisioterapi bagi membantu menstabilkan sendi pinggul serta menguatkan otot di sekelilingnya.

“Rawatan pertama yang saya lakukan biasanya ialah rawatan konservatif. Kebanyakan pesakit yang datang dengan masalah sendi pinggul akan saya mulakan dengan fisioterapi.

“Sekiranya selepas tempoh sekitar enam minggu hingga tiga bulan rawatan awal masih tidak berkesan, iaitu sakit masih berterusan atau pesakit tidak boleh kembali kepada aktiviti asal mereka, barulah saya akan berbincang mengenai rawatan pembedahan,” katanya.

PENCEGAHAN AWAL

Mengenai langkah pencegahan awal, beliau berkata, golongan muda yang aktif bersukan perlu menitikberatkan fleksibiliti badan dan kestabilan otot bagi mengurangkan risiko kecederaan pada sendi pinggul.

“Senaman regangan yang betul serta persediaan fizikal yang mencukupi dapat membantu melindungi sendi daripada kecederaan. Kebanyakan kecederaan berlaku apabila badan belum benar-benar bersedia untuk melakukan aktiviti tersebut.

“Jika sakit itu sudah melebihi tempoh tiga bulan, saya nasihatkan supaya mendapatkan rawatan dan rujukan lanjut supaya keadaan tidak menjadi lebih serius,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN