27 insiden ganas gegar Selatan Thai dalam dua bulan

27 insiden ganas gegar Selatan Thai dalam dua bulan

INSIDEN melibatkan dua rakyat Malaysia di Tak Bai adalah antara 27 kes keganasan yang direkodkan di tiga wilayah Selatan Thai sejak 1 Mei hingga 30 Jun lalu. – IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sebanyak 27 insiden keganasan direkodkan di tiga wilayah bergolak di selatan Thailand dalam tempoh dua bulan bermula 1 Mei lalu termasuk pengeboman di Tak Bai yang mencederakan dua rakyat Malaysia.

Timbalan Pusat Operasi Ke­selamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Ekwirit Chobchuporn berkata, keganasan yang berlaku di Na­ra­thiwat, Yala dan Pattani antara 1 Mei hingga 30 Jun lalu me­ngorbankan sembilan nyawa dan 33 lagi cedera.

Katanya, sepanjang tempoh sama, sebanyak 28 operasi ke­selamatan dilaksanakan de­ngan pihak berkuasa menahan 22 suspek yang dipercayai anggota kumpulan pemisah.

“Dalam beberapa konfrontasi yang berlaku, tiga anggota kumpulan pemisah terbunuh manakala empat laras senjata api dirampas.

“Kejayaan ini adalah hasil maklumat orang ramai, risikan dan skop siasatan yang diper­luas terhadap rangkaian kumpulan pemisah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ekwirit berkata, walaupun kumpulan pemisah terus me­nyasarkan pegawai kerajaan dan infrastruktur sehingga menjejaskan keselamatan serta ekonomi penduduk, operasi bersepadu yang dige­rakkan semua agensi keselamatan dapat mengawal keadaan.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang berterusan turut menyaksikan keupayaan rangkaian kumpulan pemisah semakin berkurangan apabila beberapa kes berprofil tinggi berjaya diselesaikan termasuk penahanan suspek pengeboman di bandar Yala serta ram­pasan senjata api yang dikaitkan dengan beberapa insi­den keselamatan.

“Seramai 78 individu dihadapkan ke mahkamah di tiga wilayah atas pertuduhan berkaitan 50 insiden keselamatan. Daripada jumlah itu, 10 dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, 63 dipenjarakan kurang daripada 50 tahun manakala lima tertuduh dibebaskan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN