UMNO tetap pilih Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

UMNO tetap pilih Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah membincangkan nama lain kecuali Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
Ini kerana secara asasnya jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dituntut UMNO adalah hak Presiden selaku individu tertinggi dan mengikut sistem hierarki dalam kepemimpinan parti berkenaan.

Sumber berkata, membincangkan perkara itu hanya memecahbelahkan UMNO kepada dua kem berikutan ada yang bersetuju dan sebaliknya apabila Ahmad Zahid tidak dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kita tak berbincang langsung untuk membuat senarai calon Timbalan Perdana Menteri kerana sepatutnya jawatan itu adalah hak Presiden parti. Perbincangan itu akan mengeruhkan kedudukan UMNO.

“Ia akan menyebabkan perpecahan, satu kem ada yang akan kata biar sahaja Timbalan Perdana Menteri bukan Presiden parti, satu kem lagi adalah mempertahankan Datuk Seri Ahmad Zahid untuk tetap menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Kalau laporan mengenai (Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, itu ‘permainan’ baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, tiga pemimpin UMNO yang disebut-sebut dalam pertimbangan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan bekas Naib Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tambah sumber itu, perkara itu mustahil berlaku kerana Ahmad Zahid pasti tergugat apabila beliau sebagai Presiden parti perlu bersaing dengan individu lain dalam parti yang sama untuk diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Di situ ramai yang akan mempertikai kerana lantikan tidak menghormati insititusi UMNO. Bagaimana ia boleh berlaku?

“Kalau nak bercakap tentang isu Datuk Seri Ahamd Zahid dengan kes mahkamah, Bagaimana pula dengan menteri yang ada di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN)? Adakah mereka itu ‘halal’ kedudukannya,” soalnya.

Sementara itu, Ahli Mahlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, parti itu sewajarnya diberi kedudukan ebih kukuh dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa portfolio kementerian yang mesra rakyat dalam membantu pentadbiran negara.

Ia selaras dengan kedudukannya yang dikira sebagai penyumbang terbesar dalam kerajaan sehingga mengangkat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, daripada lima ahli Majlis Tertinggi UMNO, hanya seorang berada dalam Kabinet.

“Baik dari presiden, timbalan presiden dan dua orang lagi naib presiden tiada dalam Kabinet. Jadi parti tidak tahu apa yang berlaku dalam Kabinet.

“Kita tak salahkan menteri kerana mereka dah angkat sumpah, cuma keadaan tidak sama seperti dulu iaitu perdana menteri adalah presiden, timbalan perdana menteri adalah timbalan presiden.

Jadi setiap keputusan kerajaan dapat difahami parti.

“Itu kelompongan yang berlaku dan kita minta ada perubahan kerana UMNO perlu berada dalam kedudukan melambangkan jumlah ahli Parlimennya supaya kita dapat menjalankan tugas tadbir negara secara bersama dan terhormat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Abdul Rahman, perkara itu antara dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti tersebut baru-baru ini dan Muhyiddin kini tidak mempunyai banyak pilihan selain membuat rundingan dalam mencari resolusi terbaik bersama UMNO.

“Kalau dulu pilihan itu ba­nyak. Sekarang apabila darurat ditolak, maka pilihan yang ada semakin mengecil.

“Cuma bagi saya, berikan sedikit masa untuk dilihat semula setiap rundingan yang dilakukan.

“Macam mana nak tolak Datuk Ahmad Zahid sebagai calon Timbalan Perdana Menteri sedangkan rundingan pun belum habis,” soalnya.

Tambah beliau, masalah dalaman boleh diselesaikan dengan baik berikutan UMNO sudah menyatakan sokongan terhadap PN meskipun run­dingan masih dijalankan me­ngenai perkara itu.

“UMNO berasakan kita tak ada kekuatan pada kedudukannya. Kita nak runding balik, apa yang boleh ditambah baik dan bagi saya boleh selesai.

“Kalau kita betul fokus de­ngan masalah di hadapan kita, tak pentingkan diri sendiri, semua pihak termasuk Bersatu tidak besarkan isu yang remeh, perkara ini boleh selesai.

“Sampai bila nak gaduh? Mereka perlu tahu UMNO penyumbang terbesar dalam PN. Jadi Perdana Menteri perlu duduk bincang semula dengan pemimpin UMNO, beri mereka masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN