ARAU: Sebuah majlis perundingan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan wakil kerajaan dan pembangkang perlu ditubuhkan bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam berhadapan pandemik Covid-19 dan cabaran ekonomi demi kepentingan rakyat.
Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ia selaras dengan kehendak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar semua ahli politik menghentikan permainan politik sekali gus bersama-bersama dalam berhadapan Covid-19.
Selain itu, katanya, Bajet 2021 yang bakal dibentangkan bulan depan diharap tidak dijadikan agenda politik oleh mana-mana pihak untuk melakukan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri kerana itu bukan keutamaan ketika ini.
“Seri Paduka percaya kerajaan mampu uruskan wabak Covid-19 dan masih belum timbul keperluan untuk darurat. Daripada apa yang dititahkan oleh Seri Paduka itu, ahli politik perlu menghentikan permainan politik, sebaliknya fokus kepada pandemik ketika ini.
“Usul undi tidak percaya buat masa ini juga tidak wajar dijadikan suatu keutamaan oleh mana-mana pihak.
“Pembentangan Bajet 2021 tidak wajar dijadikan forum untuk menguji kepercayaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri dan semua Ahli Parlimen harus akur dengan kepentingan Bajet itu untuk keperluan pemulihan wabak Covid-19, kehidupan rakyat dan ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Seri Paduka yang bermesyuarat bersama Raja-raja Melayu yang bermesyuarat semalam menolak pengisytiharan darurat di negara ini atas alasan pandemik Covid-19 ditangani dengan baik oleh kerajaan dan perlu diteruskan.
Seri Paduka juga mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.
Wan Ahmad Fauzi meminta semua parti politik segera mengetepikan segala perbezaan dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE










