Mengekalkan populariti pada usia 50-an adalah cabaran besar buat anak seni tempatan. Jika di negara luar, semakin ‘otai’ seseorang itu, semakin tinggi nilai mereka, berbanding Malaysia yang lebih mengutamakan bakat baharu sehinggakan adakalanya mereka terlupa kepada ‘insan-insan lama’ yang pernah mewarnai industri hiburan satu ketika dahulu.
Mereka terpaksa melalui pelbagai rintangan, kerja keras serta persaingan demi mencari sesuap nasi. Namun yang tidak bernasib baik terpaksa mengalah dan angkat kaki gara-gara tidak mampu melawan ‘watak-watak’ yang berkuasa dalam industri.
Namun wanita kental pemilik nama Noorshila Amin, 56, ini bukanlah insan mudah mengaku kalah. Malah kesungguhannya dalam meneruskan cita-cita untuk kekal berdiri sebaris dengan generasi baharu seharusnya dipuji. Dia belum bersedia untuk bersara dari radar industri.

Bersama Mingguan Malaysia, penyanyi yang terkenal dengan lagu Kad Ucapanmu dan Rambu Ramba ini berkongsi cerita tentang pengalaman lalu serta kehidupannya sekarang yang sentiasa sibuk dalam membahagikan urusan keluarga dan perniagaan.
“Pada awalnya menyanyi hanya hobi sahaja. Saya tidak pernah mengimpikan untuk serius dan jadikan nyanyian sebagai mata pencarian sehinggalah lepas habis sekolah saya ditawarkan kerja di Pentarama di bawah Jabatan Penerangan.”
“Pada 1983, saya ditawarkan menjadi penyanyi untuk kumpulan Okestra Tentera Darat (OTD) dengan kontrak selama dua tahun. Ketika itulah dunia saya terbuka luas dan banyak bertemu ‘orang penting’ yang bekerja di syarikat rakaman sehingga ditawarkan menjadi artis rakaman di syarikat New Southern Records (NSR) pada 1989.
“Album pertama saya berjudul Kad Ucapanmu diterbitkan oleh A .Ali. Pada mulanya saya rasa cuak apatah lagi ketika itu negara sedang dilanda demam rock. Saya terfikir ada ke orang nak dengar lagu saya? Tambah pula ketika itu terpaksa bersaing dengan Wings dan Search yang sudah mempunyai jenama yang begitu kukuh,” katanya memulakan perbualan.
Sejujurnya menurut penyanyi kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini dia sendiri tidak menyangka album tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sehingga berjaya menerima
Anugerah Cakera Platinum apabila jualannya mencatat angka begitu memberangsangkan.
“Sedikit sebanyak waktu itu saya mengalami kejutan budaya. Maklumlah, sebelum itu tiada siapa pun hairan dengan saya, tapi selepas bergelar artis pergi ke mana pun semua orang kenal, minta bergambarlah, sign autograflah. Sehinggakan saudara mara yang tidak pernah saya kenal sebelum ini pun datang ke rumah dan mengaku saudara.
“Nasib baiklah keluarga telah ajar saya supaya tidak sombong dan sentiasa hormat orang. Sebab itulah saya tidak pernah beza-bezakan peminat. Baik kau Tan Sri ke, Datuk Seri ke, cleaner ke apa ke, saya tetap layan sama rata kerana tanpa mereka saya tidak mungkin akan berada di tahap sekarang ini,” jelasnya tanpa berselindung.

Noorshila tidak menunggu lama untuk mengukuhkan namanya sekali lagi di persada seni tanah air apabila album keduanya Rambu Ramba yang diterbitkan pada 1990 diterima peminat sekali gus berjaya meletakkan namanya sebaris dengan artis-artis popular ketika itu.
Sebagai penyanyi baharu, jadualnya juga cukup padat dengan persembahan di pelosok tanah air. Di sinilah dia berpeluang mengenali dan menyantuni peminat-peminat jauh yang berlatar belakangkan pelbagai agama dan bangsa.
“Selain di kaca TV dan radio acara hiburan ketika itu amat terhad. Show di tapak ekspo (funfair) adalah acara wajib bagi setiap penyanyi. Tapi konsep bayarannya agak berbeza kerana penganjur akan bayar melalui komisen dari tiket yang terjual.
“Jadi bayaran akan dibuat selepas habis show pada malam itu. Yang tak bestnya setiap kali bayaran diterima semuanya duit kertas RM1. Bayangkan macam mana saya nak kira? Sudahlah kita habis show tengah malam dengan badan letih dan mengantuk, tiba-tiba penganjur ketuk bilik beri sekarung duit seringgit. Hah, terpulanglah sama ada nak kira atau pun tak.
“Konsep saya sebelum nak kira, saya akan taburkan semua duit itu atas katil, lepas itu barulah kira. Tapi sudahnya mesti tak akan settle punya. Akhirnya tidurlah atas duit sampai ke pagi,” katanya sambil ketawa.
Rahsia bertahan lama
Pada 1991, Noorshila Amin sekali lagi muncul dengan album ketiganya berjudul, Ahai Usahlah. Walaupun album tersebut kurang mendapat sambutan berbanding dua album sebelumnya namun populariti yang berjaya dipertahankannya sedikit sebanyak berjaya menutup kelemahan karya terbaharunya.
Tidak dinafikan walaupun sudah berjaya mengukir nama dan punyai peminat sendiri, namun sedikit sebanyak ia tetap memberi kesan apatah lagi lagu-lagu dalam naskah ketiganya tidak mampu menandingi kehebatan dari aura lagunya yang terdahulu.
“Saya akui ketika itu populariti agak menurun kerana lagu dalam album ketiga tidak ‘sekuat’ album pertama dan kedua,namun saya sentiasa berfikiran positif kerana dalam setiap persembahan saya masih boleh menghiburkan penonton dengan lagu-lagu hits terdahulu.
“Rakan saya ketika itu ialah Rohana Jalil. Disebabkan bernaung di bawah label yang sama jadi selalulah kami show bersama sehingga ke Sabah, Sarawak dan Brunei. Kalau di pejabat pula kami masing-masing ada guni sendiri yang dipenuhi surat peminat. Setiap minggu, kita orang akan lawan siapa paling dapat banyak surat dan hadiah daripada peminat,” tuturnya sambil tertawa.
Menurutnya lagi, dunia artis juga bukanlah selalunya indah. Seringkali penuh dengan tipu muslihat dan hasad dengki kerana sifat suka menjatuhkan antara satu sama lain adalah perkara biasa yang sering terjadi dalam industri hiburan tanah air.
“Saya juga tidak terkecuali. Pelbagai pahit maung, sepak terajang sudah saya rasai. Ada kawan yang baik di depan tapi tikam dari belakang, ada pula jenis mengadu domba, bermuka-muka, depan baik belakang mengata.
“Pendek kata, kalau tak mampu nak harungi dan ‘hadap spesis’ macam ini memang susahlah untuk bertahan lama, kerana orang seperti ini sentiasa berlegar di sekeliling kita. Jadi saya sentiasa berpesan pada rakan-rakan artis dan diri sendiri agar sentiasa berhati-hati dengan makhluk macam ini. Kalau perlu kita jauhkan diri daripada mereka agar tidak jadi toksid dalam kehidupan kita,” katanya menutup perbualan. – Mingguan Malaysia.











