KUALA LUMPUR: Pelbagai spekulasi timbul berhubung kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri rentetan daripada keputusan Istana Negara menolak cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan kelmarin.
Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu itu dilihat oleh ramai pihak sebagai satu isyarat bahawa Muhyiddin sudah kehilangan kepercayaan untuk terus menerajui kerajaan.
Spekulasi itu timbul ekoran wujud desas-desus mengatakan Muhyiddin akan melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Ini diikuti dengan tindakan beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti pro-Perikatan Nasional (PN) dan mengadakan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya lebih dua jam dipercayai membincangkan keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan perisytiharan darurat.
Sementara itu, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) mengadakan mesyuarat tergempar di Ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, dipercayai membincangkan hala tuju parti itu bersama PN.
Menurut beberapa sumber, mesyuarat itu turut menyentuh beberapa perkara mengenai keputusan Yang di-Pertuan Agong dan persiapan semua pemimpin parti komponen BN menjelang Persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung awal bulan depan.
Majlis Tertinggi UMNO turut bermesyuarat malam tadi juga berkaitan dengan sokongan parti itu kepada Muhyiddin dan PN.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditemui berkata, mesyuarat BN semalam ada menyebut mengenai peletakan jawatan Perdana Menteri namun tidak berlanjutan.
“Kami berbincang mengenai banyak perkara. Tiada sebarang perbincangan mengenai jawatan Perdana Menteri, kami ada bercakap isu itu tetapi tidak ada perbincangan lanjut.
“Begitu juga dengan perbincangan mengenai kerjasama BN dan Bersatu, hanya disebut. Tunggu malam nanti, majlis tertinggi akan memberikan keputusan mesyuarat ini,” katanya.
Bendahari BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada sebarang kata putus diambil.
“Tiada sebarang keputusan dibuat. Mesyuarat ini hanyalah sebuah perbincangan antara Ahli-ahli Parlimen parti. Kami membincangkan perkara-perkara mengenai pembangunan Malaysia,” ujarnya.
Penganalisis politik dari Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika ini tidak menyelesaikan isu sedia ada sebaliknya hanya mengundang permasalahan baharu seperti perebutan kuasa.
Beliau berkata, sudah tiba masanya Kabinet PN menghulurkan tangan kepada blok pembangkang bagi tujuan perbincangan dan bukannya membuka langkah baharu untuk terus bersengketa.
“Muhyiddin kena buka peluang kepada parti-parti pembangkang untuk duduk semeja, tengok DAP yang ekstrem macam itu pun boleh senada dengan UMNO. Pada saya janganlah lagi ada langkah-langkah atau percaturan baharu Perdana Menteri hendak buat.
“Kalau Perdana Menteri buka langkah, pembangkang pun buka langkah. Hulur tangan, kita bincang dan saya yakin ahli politik ini pada satu peringkat Seri Paduka cakap macam itu, mereka kena malulah sikit,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
UMNO sebelum ini mengumumkan gencatan politik dan kembali menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN.
DAP pula berpandangan, semua pihak tidak seharusnya mengambil kesempatan politik daripada apa yang terjadi dan perlu menghormati nasihat Seri Paduka untuk mengetepikan perbezaan bagi memerangi Covid-19.
Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula menyatakan pandangan yang berbeza.
Beliau berkata, seorang Perdana Menteri yang bermaruah akan meletakkan jawatan dengan sendiri apabila nasihatnya ditolak oleh Seri Paduka.
“Titah Agong sememangnya menggunakan bahasa yang beradab istana kerana berada di atas politik dan cuma tertakluk kepada Perlembagaan.
“Namun, di sisi Perlembagaan seorang Perdana Menteri yang bermaruah akan meletakkan jawatan dengan sendirinya apabila nasihatnya ditolak oleh Seri Paduka,” tegasnya.
Penganalisis politik Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain pula berpendapat, titah Seri Paduka itu bukan satu tamparan, sebaliknya sebagai satu ujian serta cabaran untuk terus memimpin Kerajaan menangani Covid-19.
“Apabila Seri Paduka bertitah tiada keperluan darurat, bermakna Baginda yakin sistem pentadbiran kerajaan boleh tangani cabaran tangani Covid-19.
“Oleh itu, Muhyiddin tidak perlu meletakkan jawatan. Biarlah ia berlaku dalam proses demokrasi di Parlimen (jika berlaku),” katanya
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr, Jeniri Amir berkata, Muhyiddin perlu meletak jawatan sekiranya permohonannya itu bertentangan undang-undang mahu pun Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, Muhyiddin tidak melakukan apa-apa kesalahan, sebaliknya perlu meneliti titah Yang di-Pertuan Agong yang secara jelas percaya kepada kepemimpinannya.
Katanya, titah itu meminta semua pihak berhenti ‘bermain politik’.
“Ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dan menggunakan ini sebagai peluang meraih kepentingan masing-masing.
“Namun jangan dilupakan isi titah Seri Paduka. Jika ada yang masih ‘bersuara’ bermain politik, mereka dianggap mempermainkan titah berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










