KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu kemungkinan berlakunya tindakan menggantung Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.
Pakar perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, apa yang penting, sesi persidangan Dewan Rakyat dan pembentangan Belanjawan 2021 perlu diadakan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta tanpa konflik demi rakyat untuk menghentikan penularan Covid-19.
Selain itu, katanya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga boleh mempertimbangkan cadangan beberapa pemimpin pembangkang termasuk memperoleh sokongan dwiparti untuk meluluskan Belanjawan 2021.
“Jika dilihat sebelum ini pun, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bukti jelas menyebabkan Covid-19 merebak. Oleh itu saya fikir mengapa tidak pertimbangkan cadangan beberapa pemimpin pembangkang sebelum ini.
“Apa yang penting perlu ada jalan yang lebih sesuai berdasarkan perundangan dan bukannya menggunakan jalan mudah termasuk darurat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani pandemik Covid-19.
Dalam pada itu, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, titah Seri Paduka itu merupakan situasi menang-menang sama ada kerajaan mahu pun pembangkang.
“Dalam titah tersebut, Seri Paduka memberi kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk terus memimpin dan menangani penularan Covid-19. Oleh itu, pada masa sekarang kedua-dua pihak perlu mengamalkan politik gentleman.
“Kerajaan perlu lebih berwibawa membentangkan Belanjawan 2021 dan pembangkang pula perlu beringat dengan titah supaya ahli politik menghentikan segera permainan politik yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










