Keputusan Agong tidak bercanggah Perlembagaan - Utusan Malaysia

Keputusan Agong tidak bercanggah Perlembagaan

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mengisytiharkan da­rurat tidak bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan.
Ini kerana Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (8) bahawa hal puas hati Seri Paduka seperti disebut dalam Fasal (1) dan Fasal (2B) adalah muktamad dan tidaklah boleh dicabar atau dipersoal di dalam mana-mana Mahkamah atas apa-apa alasan.

Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong telah berunding dengan Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan demi kepentingan dan ketenteraman negara serta pemerintahan yang adil.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain memberitahu, tidak dinafikan bahawa di bawah Perkara 40(1), Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak di atas nasihat jemaah Menteri atau menteri yang mewakilinya.

Namun, katanya, peruntukan sama juga menetapkan ada pengecualian terhadap pemakaian nasihat tersebut atau sebaliknya.

“Begitu juga, baginda berhak untuk memperoleh maklumat seperti yang dibekalkan kepada jemaah Menteri. Seri Paduka juga boleh menyampaikan pandangan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam di bawah bidang kuasa Persekutuan.

“Itulah keunikan doktrin nasihat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang berevolusi daripada prinsip syura dalam sistem politik tradisional Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Majlis Raja-raja yang ber­mesyuarat kelmarin menolak pengisytiharan darurat di negara ini atas alasan pandemik Covid-19 ditangani dengan baik oleh kerajaan dan perlu diteruskan.

Dalam masa sama, Seri Paduka juga mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, Yang di-Pertuan A­gong mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat atau sebaliknya tanpa perlu mengikuti nasihat Perdana Menteri.

“Institusi Raja Berperlembagaan menyelamatkan negara daripada jatuh ke kancah pere­butan kuasa. Ini menunjukkan betapa pentingnya institusi beraja dalam memastikan keadaan negara terkawal dan saya berharap perkara ini dapat menyedarkan golongan yang mahu institusi ini dihapuskan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mempersoalkan apa jaminan daripada ahli politik sama ada mereka akur dengan keputusan itu atau sebaliknya kerana menyorot situasi sebelum ini pun, ahli politik tetap berdegil walaupun diberi pe­ringatan beberapa kali oleh Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN