DI TAWARKAN kemewahan `express’ daripada golongan VVIP, bukanlah sesuatu yang mengejutkan pelakon baharu ini. Malah ketika ini, dia tidak menolak ada yang cuba menjeratnya hanya kerana beranggapan penampilan berani dan umurnya menjadi ukuran kepada niatnya berada dalam industri ini.
Membetulkan segala persepsi buruk itu, tegas Scha Elinnea, dia tidak akan sesekali memperjudikan peluang yang dimilikinya. Mahu memastikan dia tidak akan tersasar daripada fokus utama, baginya duit bukan kepuasan utama.
“Memang ada yang cuba nasib menghubungi saya dalam laman sosial. Kalau lihat golongan orang tua ini saya anggap sebagai tidak sedar diri. Tetapi itulah mungkin pada mereka, dengan umur dan penampilan seperti ini membuatkan saya mudah terikut.
“Saya tidak akan sesekali meletakkan diri dalam keadaan yang hanya akan mewujudkan kesan buruk. Bukan pada saya sahaja tetapi kerjaya dan keluarga,” tegas gadis berumur 21 tahun ini.
Berkongsi pengalaman berhadapan lelaki hidung belang, tambah Scha atau nama sebenarnya Azleen Natasha Mubeen bukan sukar mengenal golongan ini. Sentiasa berwaspada dengan pujukan manis, Scha bernasib baik dihadirkan dengan sifat bersyukur.
“Dengan umur dan tubuh badan yang cukup sihat, tidak perlu memilih jalan sebegitu untuk hidup selesa. Buat apa nak mencari lelaki yang tidak hormat wanita.
“Saya tidak tahu orang lain, tetapi apa yang berlaku depan mata banyak memberi pengajaran untuk sentiasa berwaspada atas apa juga tindakan. Bila kita lukakan hati wanita lain, kifarah itu ada.
Malah menakutkan bila perbuatan itu terbongkar dan paling menyedihkan bila keluarga turut terkesan,” kata pelakon yang mula mendapat perhatian melalui drama Mr. Grey ini.
Bukan kaki parti
Melihat penampilan beraninya dalam laman sosial, tidak mustahil untuk mereka di luar sana membayangkan kehidupannya yang dianggap penuh kontroversi. Malah ketika ini ada yang menjadikan ruangan komen sebagai lokasi melempiaskan kata-kata kecaman buat Scha.Tidak mahu terusik dengan kata-kata orang, jelasnya, dalam tempoh ini tidak perlu untuknya memuaskan hati semua pihak.
“Saya tahu mentaliti orang kebanyakan sama. Melihat saya agak seksi, pasti ada yang percaya saya terlibat dengan pelbagai aktiviti tidak berfaedah. Jujurnya saya tidak pernah mahu mensia-siakan kehidupan muda.
“Namun ada ketikanya saya juga melalui kehidupan remaja sama seperti orang lain. Tetapi sebagai seorang yang mempunyai tujuan hidup, semuanya berlaku dalam keadaan sederhana.
“Apa yang saya jaga adalah pergaulan. Sekadar mempunyai beberapa orang rakan baik sudah mencukupi memandangkan saya sangat mementingkan kepercayaan,”ujar Scha yang ketika ini tidak mempunyai rakan daripada golongan selebriti.

Tidak melihat berpenampilan seksi akan selamanya menjadi tanda pengenalan dirinya dalam industri, anak sulung daripada lima beradik ini mengakui sentiasa mendambakan perubahan positif selari dengan umurnya. Namun dalam tempoh ini, dia mahu melakukannya tanpa desakan mana-mana pihak.
“Sedikit demi sedikit saya juga sedang melakukan perubahan dalam penampilan. Sebagai seorang yang masih muda, saya cukup meminati fesyen. Saya tidak pernah setuju fesyen itu perlu seksi, sebab itu saya akan terus berusaha mencari yang sesuai.
“Cuma dalam tempoh ini saya akui berhadapan dengan netizen yang sering melemparkan pelbagai kecaman. Ada ketika memang terasa hati tetapi ini bukan menyebabkan saya takut untuk berubah. Perubahan akan terjadi atas kehendak saya dan bukan sebab kata-kata kecaman mereka,”jelasnya.
Cinta bakal hadir
Tidak berselindung memberitahu sudah dua tahun sepi tanpa cinta, bagi pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini, dalam usia muda dia tidak akan gopoh mencari kekasih hati. Malah saat ini juga dia sentiasa meletakkan kerjaya sebagai fokus utamanya.
“Siapa juga dia bukan sesuatu yang perlu saya kongsi. Sebab dalam tempoh ini saya berkawan dengan semua orang. Jadi dalam mana-mana hubungan juga kita perlu mengenalinya dahulu sebagai rakan.
“Cuma untuk bercakap soal lebih serius di usia ini, rasanya masih terlalu muda dan banyak perkara lagi yang perlu saya buktikan dalam kerjaya,”katanya yang juga dibesarkan di Kedah dan Kuala Lumpur.
Sentiasa bersedia dengan kehadiran cinta suatu hari nanti, ternyata usia bukan ukuran untuk dia lalai dengan keperluan diri. Jelasnya, perkara asas yang sentiasa diutamakan sebelum memulakan hubungan romantis adalah rasa hormat diri.
“Saya sentiasa tanamkan rasa hormat diri sebelum berada dalam mana-mana hubungan sebab bila kita hormat dan sayang diri kita sendiri, secara automatik kita tidak akan berada dengan seseorang yang tidak menghargai kita.
“Sebab itu, jangan mudah melayan, secara tidak langsung bila dalam keadaan itu kita sebagai wanita menghantar mesej jelas kita berbeza dengan apa yang mereka gambarkan,”katanya. – Mingguan Malaysia











