Darurat ditolak - Utusan Malaysia

Darurat ditolak

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meninggalkan Istana Negara di Kuala Lumpur, semalam selepas mengadakan mesyuarat khas bersama Raja-Raja Melayu mengenai cadangan Perdana Menteri mengenakan perintah darurat di negara ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Raja-Raja Melayu yang mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara di sini semalam menolak permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melaksanakan perintah darurat bagi memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Istana Negara dalam satu ke­nya­taan berkata, setelah memperhalusi dan ber­bincang dalam mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang bersidang selama tiga jam semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin:

Adalah dimaklumkan baha­wa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mus­tafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mus­ta’in Billah telah berkenan memperhalusi permohonan yang te­­lah dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pa­hang pada Jumaat lalu (23 Oktober 2020).

Permohonan tersebut ialah pe­laksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Setelah memperhalusi per­mo­­ho­nan dan berbincang de­ngan Raja-Raja Melayu dan me­lihat si­tuasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

Al-Sultan Abdullah berpen­da­pat tiada keperluan buat ma­sa ini untuk Seri Paduka Ba­ginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.

Kendatipun begitu, Seri Pa­duka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut ber­pendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

Seri Paduka Baginda mene­gaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru, peruntukan kewa­ngan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sesungguhnya, Al-Sultan Ab­dullah amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.

Sehubungan dengan itu, Se­ri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga wabak Covid-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN