Covid-19: Sektor runcit terjejas - Utusan Malaysia

Covid-19: Sektor runcit terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perintah Ka­walan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sejak gelombang ketiga penularan Covid-19 memberi kesan kepada sektor peruncitan yang mengalami penyusutan pendapatan sehingga 50 peratus.

Ramai peniaga yang mengeluh apabila kedai mereka tidak lagi dikunjungi pelanggan se­perti sebelum ini yang antara lainnya kerana peraturan PKPB sendiri yang mengehadkan pergerakan orang ramai keluar rumah.

Malah kerajaan juga menggalakkan orang ramai membeli-belah dalam talian.

Jumlah kes positif Co­vid-19 yang tinggi di kawasan PKPB turut membimbangkan orang ramai untuk mengunjungi pusat-pusat komersial selain waktu operasi perniagaan yang dihadkan dalam sektor ter­tentu.

Keadaan itu mula dirasai sejak 14 Oktober lalu apabila jualan mulai berkurangan sedangkan peniaga terpaksa melunaskan kos operasi seperti utiliti, sewa bangunan dan upah pekerja.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, antara faktor yang dikenal pasti ialah kekangan pergerakan dan had operasi perniagaan serta kebimbangan orang ramai untuk mengunjungi pusat komersial.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini pun, sektor peruncitan terjejas teruk lebih-lebih lagi pengguna tidak keluar rumah. Ia berlanjutan sehingga sekarang.

“Walau bagaimanapun, transaksi perniagaan dalam talian meningkat termasuk sektor penghantar barang dan makanan yang menjadi pilihan pengguna masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib berkata, banyak ahlinya tertekan sehingga ada yang terpaksa menjual perniagaan akibat tidak mampu menampung kos operasi.

“Sebagai contoh jika sebelum ini kita mampu meraih RM1,000 sehari, kini nak dapat RM400 pun susah.Kita anggarkan rata-rata kini hanya mampu meraih sekitar 30 sehingga 40 peratus daripada pendapatan yang dikutip sebelum ini.

“Sebab itu ada pengusaha yang mahu menjual perniagaan mereka lebih-lebih lagi selepas tamatnya tempoh moratarium,” ujarnya.

Di bawah PKPB, orang ramai tidak dibenarkan keluar sesuka hati untuk membeli belas yang mana ini menambahkan lagi tekanan kepada sektor peruncitan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam makluman di laman webnya menegaskan, hanya dua orang dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan keperluan asas dan terhad dalam daerah yang diduduki sahaja.

Ini bagi mengelakkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 terutama di kawasan PKPB yang dilaksanakan di lima negeri ketika ini.

Menurut MKN, semua penduduk tidak dibenarkan merentas daerah atau negeri kecuali bagi kes-kes kecemasan tetapi perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Tan Sri Ter Leong Yap pula berharap kerajaan menyediakan inisiatif khas bagi memberi kesan positif kepada sektor ekonomi negara.

“Kerajaan perlu meningkatkan geran dan pembiayaan kemudahan untuk perusahaan mikro serta melonggarkan syarat pinjaman serta mengenakan kadar faedah yang rendah kepada pihak terbabit.

“Kami juga berharap permohonan pinjaman dipercepat di samping melanjutkan tempoh permohonan pinjaman kepada syarikat yang terjejas bagi membantu perniagaan mereka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN