Beri sokongan padu Belanjawan 2021 – Agong - Utusan Malaysia

Beri sokongan padu Belanjawan 2021 – Agong

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Muhyiddin Yassin di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – Ihsan Istana Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua ahli Parlimen supaya memberi soko­ngan padu kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka bertitah, sokongan terhadap bajet itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang pada ketika ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Belanjawan 2021 juga amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini daripada terus merebak.

“Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru ahli-ahli Dewan Rak­yat menghormati titah nasihat untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” katanya semalam.

Seri Paduka bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyua­rat pra-Kabinet di Istana Negara di sini, semalam.

Dalam sesi yang berlangsung lebih satu jam bermula pukul 8 pagi, Seri Paduka berkenan menerima taklimat ringkas ber­kenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Yang di-Pertuan Agong menyatakan harapan agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kese­jahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Seri Paduka mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepen­tingan peribadi masing-masing hanya akan merugikan negara.

“Ini sekali gus menyebabkan rakyat menjadi mangsa kea­daan pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN