SPRM tahan pemimpin persatuan disyaki seleweng dana OKU - Utusan Malaysia

SPRM tahan pemimpin persatuan disyaki seleweng dana OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak menahan seorang pe­mimpin persatuan orang kurang upaya (OKU) yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian di negeri ini berhubung dakwaan menyeleweng dana persatuan hampir RM800,000.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki berusia 61 tahun berkenaan ditahan 3 September lalu.

Menurutnya, lelaki itu disiasat selepas pihaknya mene­rima laporan yang mendakwa suspek memindahkan wang dari akaun persatuan ke akaun peribadi­nya.

“SPRM sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa untuk menyeleweng dana persatuan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Fauzi berkata, kes itu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti politik lelaki yang ditahan tersebut.

“Lelaki itu disiasat sebagai seorang pemimpin persatuan bukan sebagai ahli politik, kebetulan dia terlibat dalam parti politik,” katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung laporan skandal pemberian tanah yang didakwa mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan negeri.

Menurutnya, pihaknya telah memanggil beberapa saksi bagi memberi keterangan sejak semalam untuk membantu siasatan terhadap laporan tersebut.

“Sama ada Menteri Besar akan dipanggil, saya tak boleh pastikan. Jika ada keperluan beliau akan dipanggil, buat masa ini kita panggil saksi dahulu,” katanya.

Isnin lalu, Putra membuat laporan kepada SPRM susulan surat tular dalam media sosial berhubung skandal pemberian tanah yang didakwa mempu­nyai unsur penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin negeri.

Susulan itu, menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusyairi Yahya berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan kes itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN