Amanah mahu tanding di Putrajaya

Amanah mahu tanding di Putrajaya

KHALID Samad menyampaikan sumbangan raya kepada kanak-kanak pada majlis ramah mesra Pengerusi KADA di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, Parlimen Putrajaya adalah antara kerusi yang akan ditandingi di di Wilayah Persekutuan selain Titiwangsa dan Labuan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah berkata, pihaknya merancang untuk meletakkan calon di tiga kerusi itu jika diberi peluang oleh Pakatan Harapan (PH).

“Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, kami menyasarkan untuk bertanding di lebih banyak kerusi berbanding PRU15.

“Kalau kita bertanding atas nama PH dan ia merupakan pertandingan tiga penjuru, maka kita harapkan bahawa Amanah akan dapat bertanding di paling kurang tiga ataupun empat kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di sini malam tadi.

Katanya, beliau berharap parti gabungan termasuk PKR dan DAP dapat memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Pada PRU15 lalu, Putrajaya dimenangi oleh Datuk Dr Radzi Jidin manakala, Labuan pula dimenangi Datuk Suhaili Abd Rahman sementara Titiwangsa pula di rampas semula oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Putrajaya mempunyai keunikan tersendiri dari segi komposisi pengundi malah, pegawai kerajaan juga telah percaya dengan prestasi kerajaan ketika ini.

“Saya yakin prestasi Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan kepada sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Katanya, buat masa ini, pihaknya telah menyenarai pendek nama calon bagi ketiga-tiga kerusi itu dan akan dimuktamad kelak.

Ditanya sasaran kerusi Amanah pada PRU16 nanti, Khalid berkata, pihaknya menyasarkan 40 kerusi di seluruh negara sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan parti.

“Kita sasar lebih kurang dalam 40 kerusi dan insya-ALLAH itu pun kita akan usahakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Khalid berpandangan, PRU-16 tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat susulan krisis tenaga global yang terkesan dengan konflik geopolitik Asia Barat.

“Tempoh sekarang bukan masa sesuai untuk untuk mana-mana kerajaan mengadakan pilihan raya.
Saya yakin pilihan raya akan hanya diadakan pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN