AS perketat sekatan industri minyak Iran - Utusan Malaysia

AS perketat sekatan industri minyak Iran

AS akan perketatkan sekatan terhadap industri minyak Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON:  Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pada Rabu bahawa ia sedang memperketat sekatan terhadap industri minyak Iran ketika Teheran terus mengekalkan penutupan Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada perang di Asia Barat.

Menurut Jabatan Perbendaharaan AS, hukuman baharu itu menyasarkan infrastruktur pengangkutan minyak dengan mengenakan sekatan ke atas lebih dua belas  individu, syarikat dan kapal yang beroperasi dalam rangkaian taikun perkapalan petroleum, Mohammad Hossein Shamkhani.

“Perbendaharaan sedang bertindak secara agresif dengan menyasarkan elit rejim seperti keluarga Shamkhani yang cuba meraih keuntungan dengan mengorbankan rakyat Iran,” kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dalam satu kenyataan, merujuk kepada kempen tekanan kewangan terhadap Iran.

Shamkhani ialah anak kepada pegawai keselamatan, Ali Shamkhani, penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, yang kedua-duanya terbunuh pada 28 Februari, hari pertama serangan AS-Israel dan permulaan perang di Asia Barat.

“Amerika sedang bertindak untuk mengehadkan secara tegas keupayaan Iran menjana hasil ketika ia cuba menjadikan Selat Hormuz sebagai tebusan,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan berasingan.

Iran telah menutup Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas, sebagai tindak balas terhadap kempen perang AS serta Israel.

AS kini terlibat dalam sekatan tentera laut terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Pada Selasa, Jabatan Perbendaharaan berkata, ia tidak akan melanjutkan pengecualian sementara sekatan yang membenarkan penjualan minyak Iran yang sudah berada di laut. Langkah itu bertujuan untuk meredakan tekanan terhadap harga minyak yang melonjak akibat perang.

Amerika mendakwa bahawa rangkaian Shamkhani, yang beroperasi di Iran dan Emiriah Arab Bersatu, mengelak sekatan melalui sekumpulan syarikat perundingan serta perkapalan yang kelihatan sah, yang mengendalikan armada rangkaian tersebut.

Tahun lalu, AS telah mengenakan sekatan terhadap entiti yang dikaitkan dengan rangkaian itu.

Jabatan Perbendaharaan turut mengumumkan pada Rabu bahawa ia mengenakan sekatan terhadap seorang lelaki Iran bernama Seyed Naiemaei Badroddin Moosavi. Moosavi disifatkannya sebagai pembiaya kumpulan yang disokong Iran, Hizbollah, dan tiga syarikat yang dikaitkan dengan skim pengubahan wang haram yang kompleks melibatkan penjualan minyak Iran sebagai pertukaran untuk emas Venezuela. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN