Speaker: Tiada usul undi tidak percaya MB Johor - Utusan Malaysia

Speaker: Tiada usul undi tidak percaya MB Johor

SUHAIZAN KAIAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiada usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad akan dikemukakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan berlangsung hari ini dan Ahad.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat berkata, terdapat lima usul dibentangkan pada sesi kali ini yang kebanyakannya menyentuh kepentingan rakyat dan pelantikan jawatankuasa khas dewan.

“Setakat ini, ada lima usul ia­itu pertama adalah Pakej Rangsangan Ekonomi, pelantikan jawatankuasa dewan, pelantikan Ahli Dewan Negara, Bajet Tambahan dan terakhir sekali adalah usul daripada Wakil Rakyat Pembangkang iaitu pe­ngurangan cukai tanah.

“Namun, saya tidak menolak kemungkinan usul undi tidak percaya Menteri Besar boleh dikemukakan pada saat-saat akhir namun ia terpulang kepada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbuat demikian pada bila-bila masa. Malah Speaker berhak menentukan usul tersebut sama ada dite­rima atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, sekiranya undi tidak percaya memperoleh sokongan, maka perkara itu terserah kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk tindakan seterusnya.

“Namun saya berpandangan, Menteri Besar boleh memilih dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Tuan­ku Sultan Johor untuk pembubaran DUN. Semuanya terpulang kepada Menteri Besar,” katanya.

Suhaizan kemudian memberi gambaran tiga situasi selepas sesi pengundian dilakukan, pertama adalah jika berhadapan undi seri iaitu 28-28 maka Speaker boleh menjadikan undi penentu terhadap usul tersebut sama ada ingin menyokong atau menolak.

“Malah jika kerajaan kalah pengundian, maka satu-satu usul itu boleh ditolak sekali gus memberi kesan kedudukan usul dibentangkan tersebut.

“Seandainya kerajaan mempunyai kelebihan satu undi atau 28-27 atau satu ADUN memilih untuk berkecuali, ia tidak akan menjadi masalah,” katanya.

Sementara itu Suhaizan menyifatkan sidang DUN kali ini istimewa kerana dikendalikan oleh beliau selaku Speaker bukan lantikan kerajaan sedia ada, malah menjadi Speaker kepada tiga Menteri Besar dan dua kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun.

Untuk makluman, Suhaizan merupakan Naib Pengerusi Amanah Johor yang dilantik sebagai Speaker oleh kerajaan terdahulu sejurus Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pergolakan politik Johor tercetus apabila segelintir ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian merangkap ADUN Kempas dikatakan bakal meninggalkan parti.

Kerajaan PN kini mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri Johor ialah 29 kerusi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya