KUALA LUMPUR: Jumlah penganggur di negara ini telah mencecah kira-kira sejuta orang yang antara lain berpunca daripada pemberhentian pekerja kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan ekonomi sejak Mac lalu, ada majikan menggunakan alasan aktiviti perniagaan terjejas dan terpaksa menanggung rugi untuk memberhentikan pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah itu termasuk 500,000 belia yang hilang pekerjaan serta 350,000 graduan.
Pada masa sama, katanya, ada kira-kira 200,000 pekerja tempatan yang bekerja di luar negara juga akan pulang ke tanah air kerana pandemik itu.
“Jadi ada lebih kurang sejuta memerlukan pekerjaan ketika ini,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan Malaysia.
Pada awal Mac lalu hingga awal bulan ini, katanya, terdapat 72,000 orang yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Pekeso) kerana diberhentikan kerja dan mencari pekerjaan.
Justeru beliau meminta industri yang tidak terjejas akibat Covid-19 jangan mengambil kesempatan membuang pekerja atau menggajikan pekerja dengan upah yang rendah.
“Bukan semua sektor ekonomi merosot akibat pandemik. Contohnya, sektor peruncitan, sarung tangan, produk kesihatan, keselamatan dan produk makanan memang perniagaannya bagus.
“Jadi tiada alasan untuk sektor-sektor ini mengurangkan gaji. Jangan burukkan lagi keadaan dengan ambil kesempatan ke atas pekerja,’’ jelasnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan akan memperkasa pelbagai sektor ekonomi bagi membantu golongan terbabit, termasuk ekonomi gig.
Ekonomi jenis ini merujuk kepada pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas (freelance).
“Kerajaan akan memperbanyakkan latihan untuk mereka menceburi sektor baharu berbanding dengan apa yang dipelajari sewaktu di kolej atau universiti.
“Hari ini kita lihat sektor pembinaan dan sektor tertentu lain, sudah mula beroperasi. Ini menambahkan peluang kerja,” katanya.
Beliau berkata, walaupun sistem ekonomi jenis ini tidak mampan, namun sekurang-kurangnya ia menjamin rakyat memperoleh pendapatan bagi memenuhi keperluan asas.
“Meskipun angka pengangguran sekarang ini besar, kita tidak lihat sebarang revolusi di negara kita, sebab peluang menjana pendapatan wujud melalui ekonomi gig.
“Hari ini, seorang graduan apabila tiada pekerjaan dia masih boleh bawa Grab. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan,” jelasnya.











