KUALA LANGAT: Pelukis muda, Mohamad Yusri Shah Wan Shahrom Shah,24, tidak menyangka pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menambah pendapatannya dalam seni lukis titik.
Dia yang berasal dari Jugra, Banting, sebelum PKP, perniagaannya agak positif dan mendapat perolehan perniagaan yang memberangsangkan.
“Namun, saya agak buntu kerana kedai yang terletak di Bazaar Banting terpaksa memberhentikan operasi seketika sebagaimana perniagaan lain. Ini kerana pendapatan kedai mula merudum kerana semua kerja perlu dibuat dari rumah.
“Bagaimanapun, saya tidak duduk sahaja dan mengambil peluang dengan mengasah bakat dalam seni lukisan titik atau pointilis.
“Akhirnya, perniagaan saya mula pulih dan pendapatan meningkat berikutan menerima tempahan melalui laman sosial Facebook,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, pointilis memerlukan ketekunan dan kesabaran.
Jelasnya, ini kerana lukisan wajah dan objek yang perlu dititik mampu mencecah hingga ribuan titik mengikut saiz lukisan.
“Harga setiap lukisan bergantung kepada saiz objek yang memerlukannya membuat titik demi titik, yang mana tempoh diambil kadang kala dari pagi hingga ke petang.
Tambah pemilik kedai Art Dot Galeri dan Studio Seni ini, sebagai pelukis muda, dia merasakan seni lukis pointilis kini menjadi identiti lukisannya dan dia mahu orang ramai mengenali dia menerusi lukisan tersebut.
Mohamad Yusri boleh dihubungi menerusi Facebook dengan nama shahraudhahofficial atau di talian 0178486129.










