JAMAWI JAAFAR, calon Barisan Nasional (BN) akui walaupun berdepan calon-calon heavyweight di kerusi Dewan Undangan Negeri Melalap, beliau yakin bukti yang ditinggalkan semasa menjadi wakil rakyat di Kemabong akan menjadi tanda aras sokongan pengundi yang bakal diterimanya.
Bercakap kepada Timbalan Pengarang Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL semalam, Jamawi berkata, dua daripada empat calon yang dihadapinya di Melalap iaitu Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Radin Malleh sering menggunakan isu ‘kaki lompat’ atau ‘lompat katak’ terhadapnya dalam kempen memasuki hari kelapan pilihan raya negeri ke-16 ini.
Ini jawapan Jamawi, 48, anak kelahiran Tenom berketurunan Murut-Dusun itu serta antara misinya di Melalap jika menang.
UTUSAN: Nampaknya bukan sahaja Peter tetapi Radin dari PBS sekutu anda dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pun memainkan isu ‘lompat katak’ terhadap anda?
JAMAWI: Isu dimainkan Peter bahawa saya bukan asal Melalap. Radin pula dia telah lama dalam politik, lebih 30 tahun. Mereka berdua terus mainkan saya ini ‘kaki lompat’, ‘lompat katak’ lah. Namun apa yang saya lihat rakyat di Melalap tak pandang isu itu (lompat parti). Mereka tengok prestasi saya di Kemabong.
APA yang telah anda buat di Kemabong?
ANTARANYA pembangunan industri yang rancak di Kemabong. Antaranya, pusat pelancongan berasaskan komuniti di Kampung Bamban. Ia melibatkan budaya suku kaum Murut meliputi baju kebudayaan, tarian, kraf tangan, makanan tradisi dan keindahan kampung serta air terjun. Malah, nama Kemabong pun sudah ke persada dunia dengan tagline ‘Kemabong Onsoi’.
BILA ‘dipindahkan’ ke Melalap, anda kecewakah?
SAYA pun bukan asing di Melalap. Saya pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik pertanian di Stesen Pertanian Lagud Seberang selama 12 tahun sejak 1997 hingga 2008.
Ramai yang kenal kerana pernah bertugas lama di kawasan berkenaan. Bagi saya ini satu bonus. Saya juga dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Jawa Sumbiling yang terletak di DUN Melalap. Tidak timbul isu bukan asal Melalap.
APA kisah sebenar anda kerap lompat parti?
PADA 2018 selepas kerajaan Barisan Nasional (BN), saya beralih ke Parti Warisan Sabah (Warisan) supaya pembangunan di Kemabong dapat diteruskan menerusi kerjasama baik antara kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan.
Apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak selari dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, saya kemudian beralih lagi ke pihak kerajaan Pusat melalui Tan Sri Musa Aman. Ini kerana sepanjang bulan Februari hingga Julai, kami (Warisan) merupakan pembangkang di peringkat negeri. Ini menyukarkan kerana urusan seperti skim rumah PPRT terbatal.
Begitu juga usaha untuk meningkatkan prasarana bekalan elektrik, meskipun tidak terbatal tetapi saya gagal berhubung dengan pihak di peringkat kementerian. Beberapa pergerakan saya untuk memperjuangkan isu-isu pembangunan di Kemabong turut terbatas kerana kerajaan negeri adalah pembangkang. Hendak masuk sekolah pun sukar sebab pentadbiran sekolah sukar jemput.
BENARKAH anda dibayar oleh Tan Sri Musa Julai lalu untuk lompat ke kemnya?
ITU tidak benar. Malah saya telah membuat laporan polis terhadap dakwaan-dakwaan berkenaan.










