KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan konsep sewa pajak bagi proses penggantian aset helikopter Nuri yang dilucutkan perkhidmatan sebelum ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM sedang mengkaji beberapa jenis helikopter menggantikan Nuri di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di samping merancang membuat penambahan aset lain menerusi sewa pajak.
Katanya, pihaknya juga akan memberi fokus terhadap perolehan dan senggaraan aset tertentu dengan menggunakan konsep sewa pajak bagi mengurangkan kos pembelian.
“Namun, tidak semua aset boleh menggunakan konsep sewa pajak kerana ia mengikut keupayaan dan keperluan. Kita perlu melihat kepada kos pembelian dan penyelenggaraan yang merupakan faktor penting dalam perolehan aset .
“Kalau ada pilihan lain yang lebih jimat dan bersifat ekonomi untuk kita menyewa, kita akan buat kerana sekarang dunia sudah berubah,” katanya dalam Wawancara Khas Media Bersama Panglima Angkatan Tentera Bersempena Hari ATM Ke-87 semalam.
Setakat ini, sebanyak 12 helikopter EC725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan operasi dan penugasan utama ATM.
Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM kini sedang dalam proses pembangunan peperangan siber untuk menangani sebarang ancaman terkini.
“Kita dalam proses pembangunan. Sama ada proses itu cepat atau lambat ia akan tetap berjalan kerana aspek ini penting mengikut keadaan semasa.
“Apa yang menjadi masalah konsep dan aset dalam peperangan ini mahal tidak seperti peperangan konvensional. Peralatan mungkin kecik tapi kesan sangat besar,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










