Mukadimah
Sebut sahaja Selangor, pasti isu air jadi bahan bualan. Terkini, rakyat mengeluh kerana isu pencemaran di Sungai Gong, Rawang menjejaskan kehidupan.
Persoalannya, mengapa negeri kaya yang menyumbang 24 peratus kepada ekonomi negara ini, sering mengalami masalah air?
Merungkai persoalan dan mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz, bersama jurugambar Muhammad Fariz Rusadio menemu bual Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkkan penjelasan.
Dalam wawancara eksklusif di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua turut mengulas isu politik semasa.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa jaminan, kerajaan negeri akan menangani isu air Selangor?
Datuk Seri Amirudin: Selama ini boleh saya sebutkan kita menangani setiap isu secara berhemah. Ramai pihak menuding jari menyalahkan Pengurusan Air Selangor. Tapi bagi saya, mereka melakukan kerja yang betul apabila tidak memproses air yang tercemar.
Malah, bila lawatan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Alam Sekitar, beliau juga beranggapan penutupan loji (di Rawang) itu satu yang perlu. Jika tidak, ia akan akibatkan jutaan akaun, membabitkan ratusan ribu, atau mungkin jutaan penduduk akan terdedah kepada air yang tidak bersih dan tidak diproses dengan baik.
Apa faktor sumber air negeri terdedah kepada pencemaran?
Seringkali, berlaku kecuaian demi kecuaian seperti yang berlaku dalam kes baru-baru ini membabitkan kilang di Rawang. Ada juga disebabkan oleh perbuatan yang diklasifikasikan sebagai khianat atau sabotaj. Ini kerana ada individu pernah membuang (bahan tertentu) ke dalam main hole Indah Water Konsortium (IWK). Akibatnya IWK keluarkan bahan terlarang dari dalam sungai.
Dalam konteks isu pencemaran di Rawang baru-baru ini, kenapa izinkan kilang beroperasi berdekatan loji?
Kilang yang dituduh sebenarnya bukanlah dekat sangat, jaraknya hampir dua kilometer, atau lebih tepat 1.6 kilometer daripada kawasan sungai. Jadi bukanlah ia sebelah sungai. Kalau ia terletak betul-betul sebelah sungai, ya itu salah.
Tapi bagi saya itu bukanlah alasan, kerana memang setiap kilang perlu mematuhi peraturan dan garis-garis panduan tertentu. Pelepasan efluen (air kumbah) sebagai contoh, semua memang ada syarat-syaratnya di bawah Akta Alam Sekitar 1974. Cuma bagaimana pengawasan dilakukan, itu perkara lain.
Kilang di Sungai Gong, Rawang didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014. Adakah pihak Datuk Seri maklum akan perkara ini?
Kita tidak ada dimaklumkan sebab data itu di bawah pihak majlis. Namun begitu apa yang saya nak tekankan di sini adalah tentang program pemutihan kilang. Sejak 2008, program ini berjalan tapi sambutan sangat kecil dan kurang berjaya. Ini kerana, kilang-kilang tidak mahu convert.
Kenapa tak tutup saja semua kilang tiada lesen ini?
Ada isunya bukan babitkan lesen sahaja, malah babitkan isu zoning, isu tanah. Kadang-kadang tanah mereka tanah pertanian, kena convert kepada komersial, perkilangan dan sebagainya yang melibatkan kos tinggi. Program pemutihan ini kita tawarkan.
Secara total, berapa banyak kilang beroperasi tanpa lesen di Selangor?
Saya tidak ada angkanya sebab saya perlu mengumpul dari setiap majlis perbandaran. Angka-angka ini dikawal, dan program pemutihan kilang ini ia di bawah kelolaan Exco Kerajaan Tempatan Negeri. Sebab lesen, kebenaran merancang dan sebagainya, dikeluarkan oleh Majlis Tempatan ataupun pihak berkuasa tempatan (PBT).
RIZAB AIR SELANGOR
Berapa margin simpanan air Selangor setakat September 2020?
Pada pengetahuan saya, margin kita masih rendah. Setakat Ogos 2020, rizab margin berdasarkan kepada kapasiti boleh agih ialah 5,612 juta liter per hari (JLH). Permintaan pula adalah sebanyak 4,987 JLH, maka peratusan margin adalah sebanyak 11.14 peratus.
Bagaimana sistem pengairan beroperasi?
Sistem ini, ibarat air yang mengalir. Daripada sungai dan disimpan di kolam takungan. Daripada kolam takungan pertama, masuk ke kolam imbangan. Kemudian daripada situ ia disalurkan ke kolam agihan. Maka sebenarnya jadi macam flow. Maka flow itu kalau kita imbang, kita nilai, berapa yang masuk keseluruhan ada 5,000 juta liter. Kegunaannya pula 4,900 juta liter. Maka hampir 11 peratus lah.
Bagaimana kadar air tak berhasil (NRW) pula di Selangor sekarang setakat September 2020?
Ketika angka diambil pada 2008 dahulu, angkanya agak tinggi iaitu 34 hingga 36 peratus. Bermula 2014, kita gantikan paip, lebih kurang 150 kilometer setahun. Kesannya NRW berkurang menjadi 31.6 peratus pada 2018, dan pada 2019 turun kepada 29.6 peratus. Ogos 2020, ia jadi 28.1 peratus.
KADAR PENGGUNAAN AIR SELANGOR
Berapa purata penggunaan air di Selangor?
Puratanya agak tinggi. Sekitar 266 liter per kapita air sehari bagi setiap akaun pengguna seisi rumah. Sedangkan kalau kita ambil nisbah ini, ia sangat tinggi kerana kalau kita lihat data antarabangsa, menunjukkan penggunaannya secara purata hanyalah 160 liter per kapita sehari bagi setiap akaun isi rumah.
Cukupkah nisbah penggunaan air dengan bekalan air sedia ada?
Ia masih cukup. Kita masih ada margin sekitar 11 peratus. Tetapi ya, kita perlu pertingkatkan dari semasa ke semasa. Sebab, Selangor ini negeri yang banyak industri. Pada masa sama, kita perlu lihat keperluan industri itu sendiri. Banyak keadaan, keperluan dan penggunaan air yang wajar diperhalusi. Contohnya, untuk menyejukkan mesin dan enjin tidak memerlukan air terawat.
Kalau berlaku bencana ke atas sumber air Selangor, apa pelan kontinjensi?
Sebenarnya di Selangor, kita dah cukup belajar daripada pengalaman 2013. Waktu itu kita berdepan masalah air mentah kerana berlaku kemarau dan masa itu juga berlakunya catuan air selama sebulan.
Sejak itu, pelan kontinjensi telah dilaksanakan, kita buat HORAS 300 dan HORAS 600. Sistem ini merujuk kepada kaedah takungan storm water dan air bawah tanah dialir terus ke Lembangan Sungai Selangor.
HAMPIR 30,000 KILOMETER PAIP AIR
Laporan Panduan Industri Air Malaysia (MWIG) 2016 rekodkan, Selangor terima aduan air tertinggi. Bagaimana keadaan 2020?
Kalau aduan tentang kebocoran, memang kita akui kita sedang ganti paip. Penggantian paip kita, 150 kilometer setiap tahun. Kita belanja dalam RM150 juta. Itu dah buat sejak tahun 2015, 2016. Maknanya, setiap tahun kita sambung (paip).
Cuma sistem paip kita di Selangor ini sangat panjang. Ia lebih kurang 30,000 kilometer. Panjang yang kita tukarkan pula, 150 kilometer setahun, yang ditukar secara berfasa dan berperingkat. Kita tak ganti semua serentak, sebab kosnya sangat tinggi. Malah kalau kita ganti semua, NRW kita juga akan turun. Namun, paling utama ialah kerana faktor ekonominya.
Daripada kira-kira 30,000 kilometer paip seluruh Selangor, berapa kilometer paip rosak yang perlu ditukar?
Jumlah tepat keseluruhan ialah 29,201 kilometer paip yang ada di seluruh Selangor.
Yang perlu ditukar adalah paip jenis Asbestos Cement (AC) yang telah usang dan dalam semakan kita setakat ini, terdapat sekitar 307 hotspot, yang memerlukan penggantian paip sepanjang 711km. Setakat ini kita telah pun menukar hampir 294km paip dalam senarai hotspot ini.
Baki 6,196km lagi paip AC yang usang harus ditangani dengan berperingkat dalam anggaran 150km setiap tahun, tertakluk kepada peruntukan dan keupayaan kewangan kita pada tahun tersebut.
ISU ISTERI MUATNAIK STATUS BERHUBUNG KRISIS AIR?
Komen mengenai kecaman ke atas ahli keluarga Datuk Seri memuat naik status tertentu sewaktu Selangor hadapi krisis air baru-baru ini?
Saya dah bagi komen yang jelas, isteri saya juga sudah memohon maaf. Saya kira ramai orang buat kesilapan dan saya tak terkecuali. Saya anggap isu itu sudah selesai. Sebenarnya, bukan tujuan dia (isteri) hendak menunjuk, cuma dia share kepada 100 orang kawan dia dan ada orang share pula dengan yang lain. Jadi, itu saya anggap asam garam.
POLITIK
Sekarang banyak negeri milik PH sudah tumbang. Apa nasib Selangor?
Insya-Allah saya yakin dengan pasukan saya, dengan barisan ADUN saya. Selangor ini golden state yang direbut. Jadi saya yakin dengan keadaan sekarang, kita mampu bertahan dan kekalkan, mampu untuk menyambung mandat sekiranya diadakan pilihan raya.
Untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sasaran kita bukan sahaja untuk meraih kerusi minimum 29 Dewan Undangan Negeri (DUN) malah kita cuba sedaya upaya dan yakinkan diri kita untuk bekerja, ke arah mendapatkan dua pertiga kerusi DUN Selangor. Ini sebagaimana yang kita nikmati sejak 2013.
Cabaran Selangor berdepan Muafakat dan Perikatan Nasional?
Cabaran tetap akan ada. Akhirnya Perikatan Nasional ataupun Muafakat Nasional itu sendiri, akhirnya lawan utama kita tetap Barisan Nasional (BN). Sebab BN lah yang jadi core yang mampu mengeluarkan angka yang besar untuk bertanding dan sebagainya.
Ada mendakwa Datuk Seri sebenarnya penyokong tegar Datuk Seri Azmin Ali?
Ketika 2004 hingga 2007 sewaktu saya aktif dalam Pemuda (PKR), saya juga dikenali sebagai orang yang sangat tegar dengan Datuk Mohamad Ezam Mohd. Noor iaitu bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan. Selepas itu beliau keluar parti, saya tak bergerak (keluar dari PKR) dan kemudian saya dikenali sebagai orang Datuk Seri Azmin Ali.
Kenapa? Sebab saya bertanding di kawasan Parlimen Gombak yang ditandingi Datuk Seri Azmin, dan saya tak nafikan memang saya rapat, baik dan mempunyai hubungan akrab dengan beliau. Tapi dari sudut prinsip dan juga perjuangan, saya kekal sebagaimana Ezam keluar dulu, bahawa pada pandangan saya, usaha untuk reformasi masih lagi paling baik dilaksanakan oleh PKR.
SELANGOR SUMBANG 24 PERATUS EKONOMI NEGARA
Bagaimana hubungan kerajaan negeri dengan pusat selepas PH tumbang?
Hubungan yang baik dan profesional wujud antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat, dan perlu saya ingatkan sekali lagi bahawa Selangor adalah negeri penting.
Kalau mereka sabotaj ataupun mereka cuba gagalkan dengan niat politik atau dengan hasrat politik, akhirnya akan beri kesan kepada Kerajaan Pusat. Kita perlu selesaikan masalah ekonomi. Sebabnya, Selangor menyumbang 24 peratus kepada ekonomi negara.
SELANGOR “CASH COW” PKR?
Selangor menyumbang 24 peratus ekonomi negara, bermakna ia banyak simpanan. Adakah simpanan itu digunakan sebagai “cash cow” PKR?
Kita semuanya ada audit, ada peraturan kewangan yang kita laksanakan mengikut garis dan landasan kewangan yang betul. Jadi itu cuma tanggapan sesetengah pihak yang sesuka hati, ataupun mereka yang berpengalaman buat benda sebegitu dan mereka ingat, semua orang pun buat benda yang sama.
Tapi di bawah BN dahulu, hasil cukai pintu didakwa RM500 juta, manakala sejak PKR perintah Selangor, ia didakwa naik ke angka RM2 bilion sekali gus tingkatkan inflasi?
Itu alasan-alasan yang dibuat dengan menggabungkan benda-benda yang tidak wajar. Memang penilaian dan valuation, dibuat untuk nilai hartanah. Sebab, kos pengurusan perbandaran meningkat. Bukannya duit yang kita ambil itu semua masuk ke poket saya. Ia masuk kepada akaun yang disatukan. Bila akaun wang disatukan digunakan, ia ada bajetnya dan ada auditnya setiap tahun. – Mingguan Malaysia










