SEPANG: Kerajaan Selangor memberi jaminan pembangunan pusat data di negeri itu tidak akan menjejaskan bekalan air dan elektrik rakyat kerana setiap projek tertakluk kepada syarat ketat sebelum diluluskan.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua cadangan pembangunan pusat data perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Petugas Pusat Data di peringkat Kerajaan Persekutuan yang turut menilai keperluan bekalan tenaga dan air.
Beliau berkata, kelulusan juga bergantung kepada pengesahan kapasiti bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.
“Tanpa bekalan air yang mencukupi, pusat data tidak akan diluluskan di Selangor. Kita amat peka terhadap kebimbangan rakyat mengenai penggunaan air dan elektrik, sebab itu setiap projek dipantau dengan teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran fasa pembinaan Taman Perindustrian Terurus Pertama di Malaysia di NCT Smart Industrial Park (NSIP) di Jalan Langat Lestari, di sini semalam.
Katanya, projek Loji Rawatan Air Rasau dijangka menambah kapasiti bekalan air negeri sebanyak 350 juta liter sehari (MLD) pada peringkat awal dan sehingga 700 MLD apabila fasa pertama siap sepenuhnya.
Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan penggunaan air kitar semula dan teknologi penyejukan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air terawat.
Amirudin berkata, industri pusat data turut memberi limpahan ekonomi kepada negeri melalui pembangunan sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta penyertaan syarikat tempatan.
“Kita juga ada dasar 30 peratus kandungan tempatan supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut mendapat manfaat daripada operasi pusat data di Selangor,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan NSIP, Amirudin berkata, NSIP memainkan peranan penting dalam Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) serta pertumbuhan sektor perindustrian Selangor yang berterusan.
Katanya, seiring kemajuan pembangunan ini, pihaknya berharap NSIP akan terus menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam jangka panjang. – UTUSAN










