Ke mana hala tuju Osman? - Utusan Malaysia

Ke mana hala tuju Osman?

Osman Sapian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan negeri Johor, nama bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tidak pernah lekang menjadi bahan laporan berita.

Ini berikutan status pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas tersebut menjadi persoalan sama ada masih menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN atau sebaliknya.

Meskipun dinafikan banyak kali oleh tuan punya badan, namun kehadiran Osman dalam program tertutup bersama bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menimbulkan 1,001 persoalan.

Lebih-lebih lagi beliau dilihat berkempen untuk calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim seperti dalam satu video yang tular baru-baru ini.

Osman mengakui memang beliau dalam video tersebut dan berani mengatakan Bersatu sudah menyeleweng daripada perjuangan asal.

“Benar saya dalam video itu, saya ingin menunjukkan ketidakpuasan hati saya dan akar umbi, jika itu boleh disimpulkan mengapa saya buat begitu,” katanya.

Meskipun Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam itu mengakui masih ahli dan sayang kepada Bersatu, namun beliau menye­rahkan kepada kepemimpinan parti bagi menentukan status keahliannya sama ada dihentikan atau sebaliknya.

Perkara itu susulan Bersatu Bahagian Pulai yang mahu membuat aduan disiplin terhadap tindakan Osman yang didakwa melanggar perlembagaan parti.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu negeri, Mazlan Bujang ketika diminta mengulas perkara itu berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menyen­tuh soal disiplin ahli kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Tatatertib.

Walaupun Osman menegaskan kelmarin dan semalam bahawa beliau masih ahli dan ADUN Bersatu, namun esok lusa tidak tahu apa pula pendiriannya.

Justeru, penting untuk melihat sendiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 10 September ini, sama ada Kerajaan PN di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mempunyai sokongan ADUN yang mencukupi atau tidak.

Pergolakan politik seperti berlaku di Sabah tidak mustahil terjadi di Johor yang menyaksikan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan. Tunggu dan lihat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN