KUALA LUMPUR: Demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya, setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.
Peraturan ketat ini nampak jumud dan tidak masuk akal, namun, ia penting demi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang mengkaji keperluan berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, ia bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.
“Kita sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan ia menjadi trend dan minat bagi kebanyakan masyarakat.
“Namun kajian itu mengambil masa serta beberapa faktor yang perlu dikaji dengan mendalam di samping meletakkan keselamatan sebagai perkara utama yang harus dititikberatkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Khairil, jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang basikal masih tidak kritikal dengan nisbah tiga hari untuk seorang penunggang.
“Setakat hari ini jumlah kemalangan maut bagi penunggang basikal bukan sampai di tahap membimbangkan, ia dalam anggaran 10 orang dalam tempoh sebulan.
“Berbanding penunggang motosikal, jumlahnya lebih tinggi iaitu 11 orang dalam masa sehari. Kajian ini bukan hanya untuk basikal sahaja, malah ia turut melibatkan mikro mobiliti yang ada,” ujarnya.
Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mengkaji untuk menyelaraskan semula penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti berbasikal di jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kajian itu melibatkan polis dan agensi penguat kuasa lain agar tindakan lebih tegas dapat diambil memandangkan berlaku peningkatan aktiviti berbasikal di jalan raya termasuk basikal lajak.
Menurutnya, pada masa ini, JPJ tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pengguna basikal melainkan memberi advokasi dan pendidikan.










