Anjing pengesan beri reaksi di kawasan jeram berbatu - Utusan Malaysia

Anjing pengesan beri reaksi di kawasan jeram berbatu

FADZIL Arshad (kanan) dan P. Ravi memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban, semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Koroner di sini semalam diberitahu dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan Bomba berjaya mengesan bau di kawasan jeram berbatu tidak jauh dari kawasan resort penginapan keluarga Nora Anne Quoirin.

Saksi ke-16, Pegawai Bomba Kanan, Fadzil Arshad dari Unit Anjing Pengesan Bomba memaklumkan pada 5 Ogos, salah seekor anjing tersebut jenis Labrador memberi reaksi merujuk 100 meter laluan lurus dari tingkap tempat penginapan gadis Ireland itu dilaporkan hilang.

“Kami berpandukan daripada baju Nora Anne yang diberikan ibunya. Anjing tersebut dapat mengesan dan kebarangkalian ia jejak Nora Anne. Anjing kedua jenis Border Collie juga buat pengesanan di laluan itu, hasilnya juga sama, tarikan tali anjing kuat namun bila 100 meter kesannya putus-putus, tarikan anjing tidak lagi kuat.

“Sebelah petang, kami meneruskan pengesanan di lokasi tersebut dan melalui laluan ke loji, ada simpang tiga dan sebelum itu ada sebuah rumah kosong. Kami masuk ke rumah kosong, kami susun anjing dan kemudian kedua-dua anjing menarik ke lembah yang mempunyai aliran air berbatu dan terdapat sebuah kolam penternakan ikan di situ,” katanya.

Fadzil memberi keterangan di hadapan koroner Maimoonah Aid pada hari ke­sembilan prosiding inkues mencari punca kematian Nora Anne semalam.

Prosiding inkues semalam dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhafiza Haron.

Fadzil berkata, selepas membuat laporan, ada pasukan lain membuat tinjauan di kawasan tersebut sehingga ke petang dan kemudiannya operasi tersebut ditangguhkan.

“Pada 6 Ogos, kami sambung di aliran air berbatu tersebut, dua anjing yang sama memberi reaksi kuat, terus melepasi longkang konkrit yang ada juga tandas terbiar. Kedua-dua anjing memberi reaksi di situ. Anjing kemudian terus menarik ke depan dan melepasi longkang ke simpang tiga dan anjing memberi reaksi terus ke arah satu kawasan je­ram berbatu.

“Saya kemudian membuat laporan dan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) ditum­pukan di situ iaitu di jeram berbatu. Pada hari ketiga (7 Ogos) di situ juga, anjing masih memberi reaksi serupa dan kedua-dua anjing tidak mahu ke mana-mana. Anggota pemegang anjing cuba bawa ke tempat lain, namun anjing tetap berpatah balik ke jeram berbatu tersebut,” katanya yang turut memberitahu kedua-dua anjing tersebut telah dilatih untuk mencari orang hilang.

Sementara itu, saksi ke-17, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) P. Ravi dari Unit Anjing Pengesan Bomba, Kuala Lumpur memaklumkan , dua ekor anjing jenis English Springer Spaniel yang dilatih khas dalam mengesan mayat, tidak menemui apa-apa di kawasan tersebut.

“Tiada reaksi positif daripada anjing pertama dan kedua, operasi pasukan saya sehari sahaja daripada pagi sampai petang. Khidmat kami kemudian ditamatkan dan akan dipanggil semula jika terdapat sebarang petunjuk,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN