KANGAR: Perkembangan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kembali menarik perhatian susulan Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan seorang Exco kerajaan negeri meletak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Selain Abu Bakar, turut mengambil langkah sama iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor.
Bagaimanapun, Abu Bakar menegaskan beliau masih kekal memegang jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar serta menepis spekulasi bakal menyertai parti lain.
“Peletakan jawatan sebagai Ahli MPT adalah bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Menteri Besar yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Peletakan jawatan tersebut juga tidak mempunyai kaitan dengan kemelut politik atau petanda bakal berlakunya perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya semalam.
Sementara itu, Setiausaha Bersatu negeri merangkap Ahli Dewan Negara, Azahar Hassan mengumumkan keluar parti setelah dipercayai bakal menyertai Parti Wawasan.
Azahar berkata, keputusan itu dibuat setelah melalui pertimbangan panjang terhadap perkembangan semasa.
Katanya, tugas beliau sebagai Senator akan diteruskan seperti biasa demi tanggungjawab kepada rakyat negeri ini.










