Peratusan keluar mengundi penentu utama PRN Johor - Utusan Malaysia

Peratusan keluar mengundi penentu utama PRN Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar pertembungan antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menjadi ujian terbesar terhadap tahap kesungguhan rakyat negeri itu untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Sekiranya ada satu faktor yang mampu mengubah keputusan di atas kertas, faktor tersebut ialah kadar keluar me­ngundi pada hari pengundian.

Pengalaman beberapa pilihan raya sebelum ini menunjukkan pola sokongan pengundi sering kali tidak banyak ber­ubah. Namun jumlah mereka yang keluar mengundi boleh menentukan sama ada sesuatu parti memperoleh kemena­ngan besar atau sekadar menang tipis.

Dalam PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi hanya sekitar 54.9 peratus, antara yang terendah dalam sejarah pilihan raya negeri tersebut, namun ia menyaksikan BN meraih kemenangan besar dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keadaan kali ini dijangka berbeza apabila semua parti politik berdepan cabaran untuk memastikan penyokong masing-masing benar-benar keluar mengundi.

Bagi BN, kadar keluar mengundi yang rendah lazimnya memberi kelebihan kerana jentera parti yang tersusun dan pengundi teras yang lebih berdisiplin dalam melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.

Sebaliknya, PH dan PN memerlukan kadar keluar me­ngundi yang lebih tinggi terutama dalam kalangan pengundi muda, pengundi bandar dan pengundi luar kawasan bagi meningkatkan peluang mencipta kejutan di kerusi marginal.

Golongan pengundi muda serta mereka yang bekerja di luar Johor termasuk di Lembah Klang dan Singapura dijangka menjadi kumpulan penentu di banyak kerusi panas kali ini.

Jika kumpulan ini memilih untuk pulang mengundi, landskap persaingan di beberapa kerusi yang dijangka sengit boleh berubah sama sekali. Ini kerana terdapat sekurang-kurangnya tujuh kerusi marginal yang dimenangi dengan majoriti tipis pada pilihan raya lalu dan sebarang perubahan kecil dalam jumlah pengundi mampu menentukan pemenangnya.

Di kawasan majoriti Melayu pula, kebimbangan utama bukan lagi soal kecenderungan politik tetapi tahap kesediaan pengundi untuk keluar mengundi.

Terdapat kebimbangan bahawa sebahagian pengundi Melayu mungkin mengambil sikap selesa dengan menganggap keputusan pilihan raya sudah diketahui lebih awal sehingga memilih untuk tidak hadir ke pusat mengundi.

Jika sentimen sedemikian berlaku secara meluas, ia berpotensi memberi kesan kepada kekuatan suara politik Melayu di negeri itu, khususnya di kerusi yang menyaksikan pertandi­ngan sengit antara BN dan PN.

Dalam masa sama, faktor musim cuti sekolah, urusan ke­luarga dan ibadah termasuk menunaikan umrah turut di­jangka mempengaruhi kadar kehadiran pengundi.

Hakikatnya, kemenangan sesebuah parti tidak hanya ditentukan oleh jumlah penyokong, sebaliknya oleh jumlah penyokong yang benar-benar keluar mengundi.

Atas sebab itu, tempoh akhir kempen kali ini dijangka le­bih tertumpu kepada usaha menggerakkan penyokong keluar mengundi berbanding mempengaruhi pengundi atas pagar.

Akhirnya, keputusan PRN Johor mungkin bukan ditentukan oleh siapa mempunyai manifesto terbaik atau jentera paling besar, tetapi siapa yang paling berjaya membawa penyokong mereka ke peti undi.

Juani Munir Abu Bakar ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia