TEHERAN: Kementerian Luar Iran pada Khamis mengecam serangan maut Amerika Syarikat (AS) ke atas negara itu sehingga mengorbankan 14 orang dan mencederakan 78 lain dan menyasarkan infrastruktur awam termasuk jambatan kereta api sebagai jenayah perang yang serius.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan agresif oleh tentera pengganas AS ke atas beberapa lokasi di wilayah pantai selatan Iran.
Serangan itu turut melibatkan dua jambatan di timur yang terletak di laluan kereta api menuju ke kota suci Mashhad, lokasi pengebumian Pemimpin Tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Kementerian itu turut menyifatkan pentadbiran AS sebagai jahat dan mempunyai sifat psikopat.
Serangan AS ke atas lima wilayah di Iran sepanjang tiga hari lalu itu diumumkan ketika ketegangan antara Washington dengan Teheran kembali memuncak selepas gencatan senjata yang rapuh dicapai bulan lalu gagal dipertahankan.
Ketua Pusat Perhubungan Awam dan Penerangan Kementerian Kesihatan, Hossein Kermanpour, dalam hantaran di platform X berkata, seramai 47 mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital, manakala selebihnya sudah dibenarkan pulang.
Menurut agensi berita rasmi IRNA yang memetik Timbalan Gabenor Wilayah Khuzestan bagi Hal Ehwal Keselamatan, Valiollah Hayati, tiga daripada mangsa terbunuh dalam satu serangan berhampiran bandar Ahvaz di barat daya Iran.
Sebelum serangan terbaharu itu, Ketua Perubatan Forensik Iran dan Kementerian Kesihatan Iran melaporkan bahawa jumlah keseluruhan korban maut di negara itu mencecah antara 3,468 hingga lebih 3,600 orang.
Peningkatan konflik bermula selepas AS menuduh Iran menyerang tiga kapal dagang yang melalui Selat Hormuz, sekali gus mendorong Washington melancarkan beberapa gelombang serangan ke atas sasaran ketenteraan Teheran di sepanjang pesisir selatan negara itu.
Markas Pusat AS (CENTCOM) berkata, operasi selama dua hari itu menyasarkan lebih 170 lokasi ketenteraan, termasuk sistem pertahanan udara, aset pemantauan pantai, infrastruktur peluru berpandu dan dron, keupayaan tentera laut dan kemudahan milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Menurut CENTCOM, ia dilakukan bertujuan menghalang sebarang serangan lanjut terhadap kapal-kapal antarabangsa.
Serangan AS turut mengenai sebuah jambatan kereta api di timur laut Iran, menurut media rasmi, manakala IRNA melaporkan bedilan kuat ke atas sebuah pangkalan tentera di bandar pesisir Bushehr yang turut menempatkan satu-satunya loji tenaga nuklear awam negara itu.
Terdahulu, pesawat pejuang dilaporkan berlegar di ruang udara Pulau Kish, manakala beberapa letupan menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas, Konarak dan Chabahar sehingga menyebabkan bekalan elektrik di sebahagian kawasan terputus.
Tentera Iran kemudian memaklumkan pihaknya turut menyasarkan lokasi di Kuwait, Bahrain dan Qatar menggunakan dron ‘kamikaze’ sebagai sebahagian daripada serangan terhadap pangkalan tentera AS di rantau Teluk.
Seorang wartawan AFP melaporkan mendengar bunyi letupan di ibu negara Bahrain, Manama, manakala Kuwait memaklumkan berjaya memintas serangan peluru berpandu dan dron musuh.










