Brent berpotensi cecah AS$120 setong jika krisis memuncak

Brent berpotensi cecah AS$120 setong jika krisis bekalan memuncak

HARGA minyak mentah kembali melonjak susulan serangan terbaharu AS terhadap Iran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah berpotensi melonjak kepada AS$100 (RM407.70) hingga AS$120 (RM489.24) setong sekiranya berlaku gangguan ketara terhadap aliran eksport minyak termasuk risiko penutupan Selat Hormuz, susulan serangan baharu Amerika Syarikat terhadap Iran.

Sehingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent didagangkan pada AS$77.27 (RM314.92) setong, susut 0.96 peratus, manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh 0.88 peratus kepada AS$72.87 (RM297.01) setong.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, hala tuju harga banyak bergantung kepada sama ada konflik semasa dapat dikawal atau berkembang menjadi krisis serantau yang lebih besar.

“Dalam senario kebarangkalian tertinggi, harga minyak Brent dijangka berada sekitar AS$75 (RM305.77) hingga AS$85 (RM346.54) setong dalam tempoh beberapa minggu akan datang sekiranya konflik kekal terhad dan tidak berlaku gangguan besar terhadap bekalan minyak global.

“Bagaimanapun, risiko peningkatan ketegangan boleh mendorong harga Brent bergerak lebih tinggi ke paras AS$85 (RM346.54) hingga AS$95 (RM387.31) setong sekiranya berlaku lebih banyak serangan terhadap infrastruktur tenaga atau konflik berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Barjoyai, pasaran sudah mengambil kira premium risiko geopolitik dalam harga minyak, namun belum menunjukkan kebimbangan bahawa gangguan bekalan besar-besaran telah berlaku.

“Kenaikan harga minyak ketika ini lebih banyak didorong oleh faktor ketidaktentuan geopolitik berbanding kekurangan bekalan sebenar. Justeru, perkembangan konflik dan usaha diplomatik menjadi penentu utama arah pergerakan harga minyak dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ketegangan geopolitik terus memuncak, peningkatan harga minyak boleh memberi kesan kepada ekonomi global menerusi tekanan inflasi yang lebih tinggi.

Katanya, kos tenaga yang meningkat berpotensi menjejaskan kos pengangkutan, operasi industri dan rantaian bekalan, sekali gus memberi tekanan kepada harga barangan serta perkhidmatan kepada pengguna.

“Bagi Malaysia, keadaan itu memberikan cabaran kepada kerajaan untuk menyeimbangkan keperluan melindungi pengguna menerusi mekanisme subsidi dengan usaha memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.

“Pada masa sama, kenaikan harga minyak dunia boleh memberi manfaat melalui peningkatan hasil daripada sektor petroleum yang berpotensi menjadi penampan kepada kewangan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd.,  Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekiranya tiada langkah untuk perdamaian, tidak mustahil harga minyak mentah Brent akan mula melepasi paras AS$80 (RM326.32) setong dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, perkembangan rundingan antara AS dan Iran kini menjadi perhatian pasaran global berikutan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan tenaga utama, khususnya kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz.

“Ketidaktentuan berhubung hubungan kedua-dua negara dilihat meningkatkan risiko terhadap kelancaran bekalan minyak mentah dan gas serta produk tenaga lain dari rantau Teluk, sekali gus memberi tekanan baharu kepada pasaran minyak global.

“Selain itu, keputusan AS membatalkan kebenaran eksport minyak Iran ke pasaran antarabangsa turut mencetuskan kebimbangan bahawa usaha ke arah perdamaian yang sedang dibincangkan berdepan risiko terbantut atau tidak dapat diteruskan,” katanya.

Mohd. Afzanizam berkata, sekiranya ketegangan terus meningkat, komuniti global masih berhadapan kemungkinan berlaku gangguan bekalan tenaga dari rantau Teluk, terutama jika laluan strategik seperti Selat Hormuz terjejas.

“Kebimbangan terhadap risiko gangguan bekalan itu menyebabkan harga minyak mentah kembali meningkat apabila pelabur mula mengambil kira premium risiko geopolitik dalam pasaran.

“Pasaran kini memantau rapat perkembangan rundingan AS-Iran serta sebarang petunjuk berkaitan kestabilan bekalan tenaga global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN