KUANTAN: Kerajaan disaran mengaktifkan kembali perlombongan bauksit selaras usaha menjana semula ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.
Namun, aspek kawalan perlu diutamakan kerana bauksit mempunyai konotasi negatif disebabkan aktiviti tidak terkawal di daerah ini dari 2014 hingga 2016.
Pengarah Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Pembinaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Madya Dr. Mohd. Yuhyi Mohd. Tadza (gambar) berkata, kesan tragedi lalu meninggalkan tekanan kepada pengusaha bauksit dan kerajaan.
“Kini kerajaan telah pun memberikan syarat ketat bagi mendapatkan lesen perlombongan bauksit, antara aspek lain yang boleh dilakukan adalah dengan membangunkan Bauxite Execution Plan (BEP) yang bertindak sebagai pelan transformasi perlombongan bauksit.
“BEP yang komprehensif perlu dirangka yang mana pelan ini bukan sahaja melibatkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan operasi perlombongan tetapi juga merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan serta kepatuhan kepada penjagaan alam sekitar.
“Pelaksanaan BEP ini juga akan dapat membantu kerajaan dalam mengawal selia segala aktiviti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi mengurangkan risiko pencemaran dan juga penindasan terhadap tuan tanah yang terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, selepas dibersihkan, dianggarkan kira-kira 10 juta tan bauksit akan dapat dikeluarkan dari kawasan Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan di sini jika kegiatan perlombongan bahan mineral itu dimulakan di dua lokasi terbabit.
Dari segi kualititi, bauksit di dua tanah rancangan tersebut masih bernilai tinggi dengan kandungan aluminium (AL) melebihi 45 peratus, besi tidak melebihi 20 peratus dan silika tidak melebihi lima peratus.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Yuhyi berkata, sudah tiba masa buat Malaysia membangunkan pemprosesan bauksit domestik.
Katanya, aktiviti perlombongan tidak lagi tertumpu kepada penarahan tanah dan eksport semata-mata, tetapi perlu melibatkan proses pengekstrakan mineral berkualiti tinggi sebelum dipasarkan ke luar negara.
“Mineral gallium dalam bauksit merupakan mineral terhad yang begitu bernilai boleh diusahakan bagi membantu merancakkan ekonomi negara, kewujudan dan ketersediaan mineral ini harus dimanfaatkan sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










