"Abang tengah busy ni lah..." - Utusan Malaysia

“Abang tengah busy ni lah…”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi saya ketawa seorang diri. Memang, kalau kita melayari laman sosial pasti banyak benda yang akan buat kita ketawa. Tetapi terpulanglah, bahan bacaan mana yang kita pilih. Kalau membaca artikel yang berat-berat dan kita boleh ketawa, itu sudah lain macam pula.

Seorang kawan wanita dalam Facebook telah berkongsi artikel tentang tip-tip untuk menjadi seorang suami yang baik. Saya lihat artikel sebenar mempunyai lebih 500 perkongsian dan mendapat lebih 2,000 komen. Yang menjadikan komen itu banyak apabila para isteri tag nama suami dalam ruangan komen.

Tetapi macam biasalah, tidak ramai suami yang mahu membalas komen walaupun namanya sudah dipetik beberapa hari. Yang ada pun hanya beri tanda like atau emoji love.

Yang membuat saya ketawa besar apabila ada pula suami, naik angin agaknya apabila namanya dipetik. Dia meninggalkan komen – Abang tengah busy ni lah! Dan komen itu mendapat banyak like daripada orang lelaki.

Memang saya perhatikan, apabila ada saja bahan bacaan untuk para suami, si isteri akan gigih memetik nama suami dalam ruangan komen. Tapi apabila ada bacaan tentang isteri, jarang suami akan memetik nama isteri.

Begitu juga apabila pergi bercuti, makan-makan dengan keluarga atau ada jualan murah di mana-mana, isteri sahaja yang gemar memetik nama suami dalam ruangan komen. Suami diam seribu bahasa. Buat-buat tak baca.

Tetapi itulah agaknya perangai lelaki. Mereka tidak suka menunjuk-menunjuk dan mungkin juga tidak suka diajar dan diarah. Mereka sudah tahu dan arif semuanya. Cuma buat saja belum tentu lagi.

Dan teringat pula saya kepada seorang rakan, katanya, dia pernah bertengkar dengan isterinya, gara-gara tak sengaja tertekan butang approved sebagai kawan seorang wanita berpakaian seksi dalam Facebook. Dia pun tidak kenal wanita itu. Akhirnya dia telah block akaun isterinya kerana tidak mahu laman sosial itu membuatkan mereka berdua bergaduh.

Saya pun terfikir kenapa dia block akaun isterinya, bukan akaun wanita seksi itu? Tetapi itulah tindakan luar jangka lelaki. Berfikir untuk jangka masa panjang, katanya. Elak perbalahan di masa akan datang. Begitu pula.

Tetapi sebenarnya bukan ini yang ingin saya bangkitkan. Saya ingin katakan di sini betapa media sosial mempengaruhi dan menguasai hampir separuh kehidupan kebanyakan daripada kita.

Ramai yang merasakan, hidup tak akan rasa lengkap dan merasa kehilangan jika tidak melayari media sosial. Tetapi betulkah begitu?

Pada tahun lalu, ada kajian melaporkan setiap seorang daripada pengguna media sosial di negara ini menghabiskan masa selama dua jam 59 minit dalam sehari untuk melayari media sosial.

Malahan Malaysia menduduki tempat keempat dunia dalam penembusan sosial mudah alih. Maknanya kita hampir juara dalam penggunaan media sosial!

Jadi apakah jika kita tidak mempunyai akaun laman sosial hidup ini akan jadi bosan dan dikatakan tidak reti bersosial?

Jangan cepat buat andaian. Sebenarnya masih ramai juga yang tidak ada akaun laman sosial. Memang ini sangat rare bagi kebanyakan kita. Tetapi ada yang memilih untuk tidak terjebak dan menjadi `kaki’ FB, Twitter atau Instagram.

Ada juga selebriti di dalam dan luar negara memilih untuk tidak ada akaun laman sosial. Mereka tetap popular walaupun tidak ada jutaan pengikut dalam laman berkenaan.

Bagi orang biasa pula, mereka ada telefon pintar dan komputer di tempat kerja tetapi hanya digunakan untuk tujuan kerja. Mereka masih melayari internet tetapi bukan laman sosial. Telefon pintar pula hanya ada aplikasi WhatsApp atau Telegram untuk berhubung.

Saya ada beberapa kawan sebegini. Ya, mereka tetap tidak ketinggalan dari segi perkembangan terkini. Mereka melayari berita-berita online. Cumanya, mereka tidak mahu buang masa untuk melayan segala kerenah dan masalah yang boleh timbul dari laman sosial.

Bahagiakah? Ya, pada pandangan saya, mereka ini lebih tenang dan bahagia. Sekurang-kurangnya tidak perlu berjawab dan bergaduh hal-hal yang remeh, macam tidak sengaja approved wanita seksi dalam FB, contohnya.

Bukankah begitu? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN