MUKADIMAH
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal nama yang tidak asing sebagai anak muda yang lantang mengkritik UMNO. Setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih tampuk kuasa, beliau dilantik sebagai Senator, sebelum memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam Kabinet, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimana pendirian beliau terhadap UMNO yang kini dalam PN? Adakah Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Titiwangsa ini masih mahu mengkritik rakan komponennya sendiri.
Ikuti wawancara dengan beliau bersama wartawan Mingguan Malaysia, Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan jurugambar Muhamad Iqbal Rosli di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
TIDAK IKUT DR. MAHATHIR
MINGGUAN: Kenapa tidak setia kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH)?
WAN AHMAD FAYHSAL: Seperti saya jelaskan dalam banyak ucapan dan kenyataan media, pandangan yang mengatakan saya mengkhianati rakan saya, Yang Berbahagia (YB) Syed Saddiq Abd. Rahman dan juga Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah tidak tepat.
Ini adalah satu pertentangan yang tidak wujud sama sekali. Saya dan ahli-ahli lain Bersatu berpegang kepada keputusan yang diputuskan Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti. Dalam parti politik, institusi parti itu lebih utama daripada mana-mana individu, hatta presiden parti itu sendiri.
Ini kerana parti ini berdiri atas sokongan kelompok, bukan individu. Jadi, kalau ada perbezaan pandangan sehingga menimbulkan ketegangan yang mengatakan kami mengkhianati pemimpin tertentu, saya rasa itu adalah pandangan yang tohor dan dangkal.
YB akan bertanding sebagai Ketua Armada, adakah ini strategi untuk mengukuhkan Bersatu?
Saya rasa ini tak menjadi kesalahan. Presiden parti memerlukan sokongan daripada akar umbi, khususnya daripada sayap Armada.
Umum mengetahui, ketika pencalonan dibuat, saya adalah salah seorang daripada tiga calon yang bertanding. Dan Syed Saddiq sudah tentu mewakili blok yang menentang parti dibawa keluar. Dan saya adalah kumpulan yang bersama-sama dengan keputusan majoriti Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) untuk bersama dengan Perikatan Nasional (PN).
MELAYU DAN POLITIK WANG?
Sebelum PRU-14, YB terkenal lantang mengkritik UMNO kleptokrat. Kini setelah menyertai PN, apa pandangan terhadap rakan komponen ini?
Pada pandangan saya, masalah yang UMNO bergelumang dalamnya adalah masalah bersifat sistemik, yang saya selalu ulas dalam istilah bahasa Inggeris patronage politics, atau dikenali sebagai `politik naungan’.
Jujur saya cakap, dalam politik Melayu memang wujud. Tak kira sama ada Bersatu, UMNO atau Pas. Cuma berbeza daripada segi gaya, cara, dan juga mungkin kematangan politik naungan tersebut.
Untuk UMNO yang sudah 60 tahun lamanya, seperti mana tamadun lain yang sudah berusia, ada satu tahap yang mana mereka akan berdepan dengan masalah dalaman. Bila dah berakar umbi ia jadi budaya, contohnya politik wang. Perkara itulah sebenarnya menjadi mimpi ngeri semua parti politik Melayu. Jadi Bersatu lahir daripada naratif ataupun perjuangan membaiki masalah-masalah yang ada dalam UMNO ini.
Jadi tubuhkan parti Melayu baharu?
Konteks utama tertubuhnya Bersatu adalah apabila jalan untuk menyelamatkan UMNO ketika itu gagal. Saya berada bersama dengan Tan Sri (Muhyiddin) dan Tun Dr Mahathir. Kita lalui semua fasa tersebut. Jadi, menubuhkan parti baharu jalan terakhir sebenarnya.
AGIHAN KERUSI
Mengenai pembahagian kerusi antara tiga parti besar Melayu iaitu Bersatu, UMNO dan Pas. Bagaimana YB melihat situasi ini?
Saya tidak nafikan dalam kita berunding, memang ada pelbagai cabaran. Tapi saya rasa hikmah yang ada dalam kalangan pemimpin utama parti termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, mereka ini sudah makan garam lebih awal daripada kami semua.
Jadi hikmah itu ialah bagaimana rundingan dapat dicapai untuk situasi menang-menang bagi semua pihak.
Bersatu, contohnya tidak pernah berhasrat menjadi parti yang mempunyai kerusi paling banyak. Tapi kita mengharapkan kerusi yang boleh dikatakan respectable, nombor yang boleh dihormati parti komponen dan parti lawan. Ini kerana kita mempunyai calon Perdana Menteri.
Maksudnya, adakah Bersatu memilih kawasan yang mempunyai potensi besar untuk menang jika bertanding pilihan raya?
Saya difahamkan, rundingan ini berjalan berdasarkan kerusi sedia ada ketika ini. Contohnya Bersatu – termasuklah yang baru menyertai selepas pilihan raya – seperti Jeli dan Tanah Merah, kita bincangkan dulu ini adalah kerusi Bersatu. Walaupun memang ada suara-suara yang mahu kerusi itu dikembalikan kepada UMNO, tapi saya rasa politik pada masa ini, kita lihat kekuatan itu bukan sahaja pada parti, tapi juga pada individu yang bertanding di kawasan itu.
Di Jeli misalnya, kita tahu Tok Pa (Datuk Mustapa Mohamed) winnable candidate. Jadi buat apa tukar orang, kalau kita tahu ia merugikan PN? Jadi inilah perkara-perkara yang perlu diperhalusi pimpinan tertinggi.
SOKONGAN ARMADA
TERHADAP MUHYIDDIN
Bagaimana penerimaan sayap Armada apabila menyertai PN?
Saya fikir selepas hampir lima bulan krisis politik kita, Armada umumnya bersama Muhyiddin termasuklah golongan yang sebelum ini agak skeptik, kerana mereka ingin menunggu keputusan mahkamah berkenaan dengan kes 1MDB tempoh hari.
Dan terbukti Muhyiddin seorang yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan oleh itu saya rasa golongan yang bersama Dr. Mahathir yang keras menentang Muhyiddin sebelum ini, sudah lembut hati. Jadi itu yang saya rasa, saya yakin Armada bersama Muhyiddin
PARTI BAHARU Dr. MAHATHIR
Komen YB tentang parti baharu Dr. Mahathir?
Beliau masih sihat dan bertenaga untuk teruskan perjuangan. Bersatu sendiri meraikan demokrasi seluas-luasnya. Saya gembira seorang pejuang Melayu yang sudah berusia sebegitu masih di gelanggang.
Saya berharap agar ayahanda Tun dapat menyumbang ke arah perjuangan Melayu dan masyarakat pribumi lainnya yang dipimpin oleh Bersatu dan sama-sama bekerja ke arah ini.
Dari segi menarik keahlian, itu bergantung kepada tawaran parti. Gabungan paling cocok adalah beliau dapat kembali kepada Bersatu dan meneruskan agenda yang kita telah sama-sama bina selama ini.
Saya yakin Bersatu akan terus dapat sokongan anak muda, di seluruh negara.
MUHYIDDIN MASUK UMNO?
Sebelum ini ada beberapa pemimpin UMNO menyuarakan agar Muhyiddin kembali menyertai UMNO. Pandangan YB?
Sebelum saya menjawab soalan ini, mungkin saya boleh bagi sedikit konteks. Orang Melayu zaman ini sudah mempunyai pilihan. Mereka bijak memilih untuk bernaung di bawah mana-mana parti politik yang boleh menjamin masa depan mereka. Ini adalah kesan pendemokrasian yang berlaku dalam negara.
Kalau dahulu, orang Melayu tak boleh hilang daripada bayangan UMNO. Tapi sekarang tidak lagi. Parti Bersatu sendiri telah berupaya menghasilkan dua orang perdana menteri.
Jadi ini menunjukkan orang Melayu sudah sedia berubah dari segi dogma politiknya. Jadi untuk itu saya rasa, Muhyiddin eloklah kekal bersama Bersatu, kerana kita membawa naratif yang baharu.
Saya sebagai calon Ketua Pemuda Bersatu akan setia dengan parti, kerana parti ini mempunyai nyawa dan roh berbeza dengan parti komponen lain dalam PN.
Semasa dalam PH, keadaannya bagaimana?
Sebelum ini, kami dalam Bersatu, walaupun dalam PH, kita tidak menjiwai perjuangan PH sebenarnya. Ini kerana kami adalah parti yang bernuansakan semangat perjuangan kebangsaan Melayu atau `Malay Nationalisme’.
Siapa yang YB maksudkan sebagai ‘kami’ itu? Sebab Syed Saddiq misalnya, beliau mungkin berbeza wadah dengan YB.
Ya, Syed Saddiq mungkin salah seorang yang berbeza (wadahnya) daripada kelompok umum dalam parti kami. Hujah saya mudah. Ketika keputusan Syed Saddiq ingin membawa sayap Armada bersama dengan Tun Dr. Mahathir, beliau ditolak oleh hampir semua negeri, oleh akar umbi.
Jadi dari situ boleh dilihat betapa sebenarnya akar umbi Bersatu serik untuk bekerjasama dengan parti DAP khususnya. Dan kalau kita boleh buat referendum (pungutan suara) misalnya, saya percaya dan yakin akar umbi Bersatu rela bersama UMNO dan Pas berbanding dengan DAP.
Kenapa begitu?
Saya fikir kerana perbezaan ideologi yang agak ketara. Ya, tidak dinafikan dalam DAP masih ada pemimpin yang progresif, anak muda seperti Steven Sim, Anthony Loke misalnya. Tapi di satu sudut lain, parti politik DAP ini masih berakar umbikan citra cauvinis Cina, yang tidak kena langsung dengan semangat kenegaraan kita.
SUKAN DAN KELUARGA
Desas-desus menyatakan bapa YB, Prof. Dr. Wan Kamal Wan Napi berminat membeli pasukan bola sepak Kelantan.
Saya menjauhi dalam membuat kenyataan rasmi berkenaan pandangan ayah saya. Saya tidak akan komen.
Dua orang adik YB mencipta nama dalam sukan bola sepak. Adakah YB turut sama minat bola sepak?
Dulu, saya pemain ragbi bawah 19 tahun Wilayah Persekutuan. Saya minat bola sepak, tapi saya masuk ke sekolah yang merupakan projek ragbi Kuala Lumpur. Jadi daripada bola, mereka convert saya menjadi pemain ragbi. Itulah ceritanya. Dan sekarang, saya dah bersara daripada sukan ragbi secara profesional.
Pasukan bola sepak kegemaran YB?
Saya penyokong Manchester United.
Menghadapi cemuhan dalam media sosial, adakah YB melayan semua ini?
Dulu ketika masih belum matang dalam politik, saya terkesan juga. Tapi setelah menjawat dan menduduki kerusi ‘panas’ ini, saya dah lali. Kini saya fokus kepada kerja-kerja hakiki, sebagai Timbalan Menteri.










