Kyoto Protocol pemecah stereotaip `Nyonya Mansur' - Utusan Malaysia

Kyoto Protocol pemecah stereotaip `Nyonya Mansur’

Kyoto Protocol
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ahli muzik? Pantang datuk nenek aku ahli muzik!”
Sudah 58 tahun Ibu Mertuaku diterbitkan, namun mungkin masih ada yang percaya pada celaan Nyonya Mansur terhadap Kassim Selamat dalam filem itu.
Ahli muzik pada mata Nyonya Mansur adalah kerjaya yang tiada darjat sehinggakan dia sanggup menyingkirkan Sabariah keluar dari keluarga hanya kerana hati anak tunggalnya itu sudah terpaut pada Kassim Selamat.
Jika diteliti, ada betulnya juga apa yang ada di fikiran Nyonya Mansur itu. Dia tak mahu hidup anaknya melarat kerana bersuamikan ahli muzik yang tidak tentu pendapatan.
Bentangkanlah situasi seideal manapun, realitinya pendapatan yang stabil sememangnya aspek penting dalam kerukunan rumah tangga.
Namun, apa yang perlu disedari masyarakat, bukan semua ahli muzik itu tiada masa depan dan hidup melarat. Ada sesetengahnya hidup senang dengan pendapatan sebagai ahli muzik dan sebahagian lagi mempunyai pekerjaan tetap lain bagi menampung hidup.
Malah, pemuzik yang mempunyai kerja hakiki lain ini sudah menjadi kebiasaan, terutamanya bagi mereka yang bergiat secara indie.
“Muzik selalu menjadi nyala rasa (passion) tetapi hal-hal macam sewa rumah, (ansuran) kereta; itu realiti. Jadi, kena cari duitlah, kena kerja.”
Itu reaksi spontan Fuad Alhabshi, 35, apabila saya bertanya tentang situasi pemuzik yang mempunyai kerja tetap lain sebagai punca pendapatan utama.
Ia bukanlah bermakna pemuzik sepenuh masa langsung tidak boleh dijadikan kerjaya, namun bagi sebahagian mereka, mempunyai pekerjaan tetap lain lebih menjamin pendapatan yang kukuh dan stabil.
Fuad ialah vokalis dan gitaris Kyoto Protocol, kugiran rock yang kini sudah menjejak usia 11 tahun.
Kugiran ini adalah contoh baik untuk memecahkan ‘stereotaip Nyonya Mansur’ terhadap ahli muzik yang sering dianggap tidak berpelajaran dan tiada masa depan.
Fuad sendiri mempunyai kerjaya sebagai pengurus dana dan empat lagi ahli mereka juga mempunyai kerjaya yang tidak kurang hebat di luar pentas.
Gitaris, Hairi Haneefa, 34, ialah seorang jurutera dalam sektor minyak dan gas; Gael Oliveres (keyboard), 36, memiliki sebuah agensi teknologi maklumat (IT); Shakeil Bashir (bass), 34 bekerja dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah manakala Shanjeev Reddy (dram), 33, seorang wartawan.
“Jika takdir kami adalah untuk bermain muzik sepenuh masa, kami akan teruskan begitu tetapi jika tidak, apa yang kami perlu buat? Kalau masih sayangkan muzik, teruslah bermain muzik (sambil buat kerja lain untuk pendapatan). Ini cara kami,” sambung Fuad.
Apabila ditanya tentang kesukaran menyeimbangkan kerja hakiki dengan komitmen kepada kugiran, Hairi yang sebelum itu hanya mendengar mula buka mulut; dan dia tidak mahu berbasa-basi. Baginya, ia memang sukar.
“Kita ada kerja dan keluarga. Namun, yang memudahkan urusan itu ialah mereka di sekeliling kami yang memahami. Termasuk juga ahli kugiran lain.
“Mempunyai keluarga dan ahli kugiran yang memahami memudahkan kami untuk mengurus kedua-duanya (kerja dan kugiran),” katanya.
Setakat ini, Kyoto Protocol telah menghasilkan dua extended play (EP) dan dua album. Kesemua EP dan album mereka sepenuhnya dalam bahasa Inggeris kecuali EP Pahlawan yang diterbitkan pada 2013.
Pahlawan mengumpulkan empat gubahan lagu yang mereka hasilkan dalam program Versus musim kedua pada 2013. Satu lagi trek yang dimuatkan dalam EP tersebut adalah lagu ciptaan mereka sendiri bertajuk Jelita hasil kolaborasi bersama Liyana Fizi.
Bercerita mengenai Versus, Fuad mengakui program tersebut memberi impak besar kepada Kyoto Protocol terutamanya daripada segi populariti.
Gubahan mereka terhadap lagu Tiada Lagi Kidungmu menjadi antara kegemaran peminat dan ia menjadi lagu wajib dalam setiap persembahan.
Mereka berjaya mendapat tempat kedua dalam Versus, ditewaskan oleh Manifesto, kugiran projek yang meng­ga­bungkan Modread dengan Tomok.
Memasuki tahun ke-11 penubuhannya, masih banyak yang mahu diteroka Kyoto Protocol. Walaupun masing-masing semakin sibuk dengan kerjaya, nyala rasa terhadap muzik tidak pernah padam.
Bagi mereka, muzik tidak sepatutnya dipandang serong dan dikaitkan dengan pelbagai gejala negatif.
Malah, mereka sendiri pernah beberapa kali menggunakan medium muzik untuk membantu masyarakat baik dalam bentuk kempen kesedaran terhadap isu melibatkan wanita, kanak-kanak dan alam sekitar.
Tentang stigma yang mengaitkan muzik dengan gejala negatif, Shanjeev mempunyai pandangan tuntas:
“Tak kisah kalau kamu main muzik, main bola sepak atau apa sahaja, akan ada masanya yang kamu jadi ‘setan’ juga. Ia tiada kaitan dengan muzik atau apa yang kamu buat. Kalau nak jadi ‘setan’, akan jadi ‘setan’ juga.” Rondivu, Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN