Jangan sampai nasi berlauk kicap - Utusan Malaysia

Jangan sampai nasi berlauk kicap

Hasil penoreh getah mengalami kemerosotan sehingga ada yang makan nasi dengan kicap. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI lagi golongan marhaen merungut disebabkan harga ko­moditi yang diu­sa­hakan oleh mereka menurun ke tahap yang agak rendah. Ramai pengusaha kebun getah di Kedah dan Per­lis meluahkan rasa tidak pu­as hati apabila harga getah sekerap jatuh sehingga RM1.60 sekilogram. Malah ra­mai dalam kalangan mereka mem­peroleh penda­patan ti­dak sampai RM1,000 sebulan dalam keadaan ekonomi men­desak seperti sekarang. Inilah nasib yang menimpa pekebun-pekebun getah di seluruh negara.

Pada penghujung 2018, perkara ini sudah berlaku. Pada masa itu, harga getah sekerap menjunam sehingga RM1.80 sekilogram dan pendapatan pekebun-pekebun kecil getah di negara kita pada ketika itu antara RM450 hingga RM600 sebulan. Inilah antara masalah utama pekebun-pekebun kecil kita yang meminta pihak-pihak tertentu mempertimbangkan pelbagai langkah untuk menangani masalah yang dihadapi oleh golongan tersebut. Di mana-mana pun, golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana amat merasakan kenaikan kos sara hidup.

MENDADAK

Bagi yang mengusahakan tanaman jangka panjang dan jangka pendek, kejatuhan harga mendadak sesetengah komoditi di pasaran dalam negara dan antarabangsa menyebabkan golongan ini tertekan kerana harga barang keperluan harian tetap sama. Turunnya tidak banyak tetapi kenaikannya agak tinggi.

Risiko dalam pertanian sangatlah tinggi. Maka tidak hairanlah golongan muda tidak begitu meyakini bidang ini sebagai pilihan untuk menjadikannya sebagai bidang pekerjaan. Pesawah padi diancam banjir, serangan penyakit, padi angin dan sebagainya yang menjadikan hasil yang diperoleh tidak seberapa.

Bagi pekebun getah, selain daripada kejatuhan harga di pasaran, faktor cuaca turut mempengaruhi pendapatan mereka. Hasil penoreh getah dan pekebun kelapa sawit mengalami kemerosotan sehingga ada yang makan nasi dengan kicap. Ada yang beli sepasang kasut sahaja untuk anak-anak. Ada yang tidak berganti pakaian sekolah dan pakaian raya kerana tidak cukup belanja akibat kejatuhan harga kelapa sawit dan getah. Ada yang terbengkalai pendidikan kerana bidang pekerjaan ibu bapa yang tidak menjanjikan anak-anak mereka meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

PENDIDIKAN

Oleh hal demikian, sudah sewajarnya pihak-pihak tertentu turun padang membantu golongan ini termasuklah memberi pendidikan dan jalan agar dapat meningkatkan hasil usaha mereka ke tahap yang lebih baik. Seperti yang diutarakan oleh Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Aliasak Ambia, latihan perlu diberikan kepada pekebun-pekebun ini terutamanya kaedah menoreh yang betul agar hasil dapat ditingkatkan.

Selain itu, alternatif mesti diberikan kepada mereka agar dapat mempelbagaikan kerja supaya pergantungan hidup mereka bukan hanya pada hasil pertanian terutamanya getah kerana tanaman ini terpaksa berdepan dengan banyak risiko.

Kemahiran juga perlu di­be­rikan agar golongan ber­kenaan dapat melakukan lebih daripada satu pekerjaan. Contohnya, kemahiran tangan berasaskan sumber tempatan yang ada di sekeliling mereka boleh dijadikan sumber pen­dapatan sampingan termasuklah mengusahakan kraf tangan. Kita percaya, hasil-hasil kraf tangan berasaskan buluh dan rotan mendapat sambutan ramai dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong luar negara.

Kepelbagaian usaha menca­ri rezeki sangatlah relevan dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang kian meningkat seperti sekarang. Bukan hanya golongan marhaen yang berdepan dengan pelbagai risiko, golongan lain pun perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dalam menempuh kehidupan. Contohnya, ancaman Covid-19 menjejaskan pelbagai lapisan masyarakat dan pekerjaan. Ramai yang hilang pekerjaan dan sumber mata pencarian.

Maka tidak hairanlah, di pinggir-pinggir pekan dan kampung sekarang, ramai yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan secara kecil-kecilan daripada menjual air, kuih sehinggalah kepada nasi campur untuk makanan tengah hari.

 

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN