MUKADIMAH
Pengaruh anak muda dalam mewarnai kanvas politik tanah air tidak dapat disangkal. Justeru, dua parti seteru tradisi, UMNO dan DAP masing-masing mengetengahkan wanita muda sebagai ikon.
Mingguan Malaysia baru-baru ini menemui dua ikon wanita muda UMNO-DAP, yang meniupkan angin pembaharuan dalam parti mengikut acuan masing-masing.
Ikuti temu bual eksklusif dengan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Khaidhirah Abu Zahar, 36, yang mesra dipanggil Dira dan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman, 31, yang popular dengan panggilan Rara dalam membicarakan naratif dan menyuarakan perspektif.
Bersama wartawan Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub dan jurugambar Muhammad Fariz Rusadio, Dira dan Rara berkongsi agenda dan kisah suka duka dalam mengharungi gelombang politik di negara ini yang ada saja kejutannya.
MINGGUAN: UMNO mesra anak muda?
khaidhirah: Saya kerap ulas bab ini. Sebenarnya dakwaan UMNO `kedekut’ calon muda, ini tak lebih daripada sekadar momokan dan tohmahan pembangkang. Untuk pengetahuan, parti UMNO wujudkan sayap Pemuda dan Wanita – iaitu sayap mewakili golongan muda – sejak seawal UMNO itu sendiri ditubuhkan pada 1946.
Jadi sejauh mana UMNO angkat suara anak muda?
Untuk pengetahuan, baru-baru ini Pemuda dan Wanita menyambut ulangtahun ke-71.
Malahan Puteri juga telah mencapai usia hampir 20 tahun. Jadi kalau didakwa tidak ada revolusi anak muda dalam barisan kepimpinan UMNO, senang sahaja nak bidas. Parti lain pun, sejak saya sekolah rendah sehingga kini, masih dipimpin oleh dinasti Lim yang sama. Jadi, apa yang perlu dibanggakan sangat oleh anak-anak Melayu dalam DAP? Presiden mereka, dari dulu sampai sekarang. Sampai dah tertidur-tidur semasa jadi Ahli Parlimen.
Begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Politik legasi, nepotisme begitu tebal, jelas dan nyata. Ini berbeza dengan UMNO, sejak 20 tahun lalu seingat saya sejak arwah ayahanda saya masih hidup, (Datuk Seri Abu Zahar Ithnin) kita amalkan pertukaran presiden mulai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden, Tun Abdullah Badawi, lepas itu Datuk Seri Najib Razak dan kini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Ada juga pertukaran Presiden.
KEDEKUT ORANG MUDA?
Jadi dakwaan UMNO kedekut calon muda itu tidak benar?
Ia tak lebih dari sekadar propaganda, mitos yang berjaya dijual oleh pembangkang kepada orang ramai. Propaganda itu pula dibeli oleh massa.
Realitinya, kita menawarkan ramai pelapis muda. Cuma kita kena faham, bila letak pemimpin muda, kita bukanlah kedekut menaikkan mereka, cuma kita tidak terlalu ghairah dengan konsep `asal jual orang muda’ yang boleh bantu dapatkan undi.
Kita cari pemimpin berkaliber, yang ada kemampuan memimpin. Kalau awak muda, tetapi tak mampu kawal keinginan darah muda sehingga abaikan tanggungjawab sebagai pemimpin, kalau jadi pemimpin muda tetapi lepas itu panjat pagar dan sebagainya, susahlah. Takkanlah kita nak ikut pemimpin (muda) yang lari lompat pagar, yang kena pegang sikit dengan orang sebelah, terus koyak tisunya.
Bagaimana revolusi anak muda mencorakkan dinamik UMNO sekarang?
Sudah pasti ia berevolusi dengan baik dan positif. Kita ada Shahril Hamdan yang daripada Naib Ketua Pemuda, diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO. Saya sendiri diberi peluang untuk diletakkan di Majlis Kerja Tertinggi, pada saya ini satu budaya pemerkasaan yang sihat.
Baru-baru ini, saya jadi panel dalam MYLA iaitu Malaysian Youth Leadership Association. Yang Berhormat (YB) Liew Chin Tong ( DAP) berada di situ dan cuba menjawab bagi pihak partinya. Dia kata, UMNO ini di peringkat bahagian ada banyak warlords.
Saya bidas dengan hujah, ia susulan kejayaan UMNO menyusun organisasi sehingga mampu mempunyai bahagian yang sangat stabil, tersusun dan berstruktur. Maka wakil bahagian kami, YB kami boleh bekerja dengan lancar. Dengan kelancaran itu, saluran kerja, saluran peruntukan, sumbangan dan sebagainya dapat sampai kepada akar umbi.
SITUASI PH MEMERINTAH
Boleh beri penjelasan lanjut mengenai struktur ini?
Ini boleh dilihat dengan mengambil PH sewaktu memerintah sebagai contoh. Sewaktu mereka memerintah, ketua kampung pun tidak terlantik. Ketua kampung A, mereka ambil orang kampung sebelah. Macam mana orang kampung ini hendak tahu kampung lain punya masalah?
Ketua kampung tidak dilantik, pengerusi JPKK tidak dilantik, pengerusi masjid dan surau pun tidak dilantik, jawatankuasa surau tidak disusun betul-betul, ambil orang entah dari mana, dilantiknya sebagai pengerusi surau di kampung lain. Habis kalau apa-apa terjadi? Masalah kariah, kematian dan sebagainya? Nak buat kenduri nak baca Yasin, panggil orang datang masjid, nak panggil siapa? Itu pun tidak dapat diurus oleh PH.
Sebab itulah, nak sahaja saya jawab (kepada YB Liew Chin Tong), sebab bila YB parti DAP menang, mereka tak turun pun balik kawasan. Dia tak pergi tengok masalah-masalah peniaga, pasar malam dan sebagainya.
Pengalaman pahit manis sebagai anak muda yang masuk politik?
Satu perkara yang membuktikan UMNO ini penuh nilai santun termasuk kepada anak muda, saya tak pernah tengok mana-mana parti lain, bila kita 60 tahun jadi pemerintah, sewaktu kalah PRU-14 dulu, kita tak bawa pun penyokong kita yang tiga juta ini turun ke jalan raya. Kalau parti lain, dah bawa turun dah.
Kita beri kuasa pemerintahan secara baik-baik, malah sewaktu kita ambil alih semula kerajaan pun, kaedah kita ambil semula masjid-masjid, pejabat daerah, pejabat khidmat masyarakat di kampung-kampung, kita buat dengan berhemah.
PH sewaktu berjaya gulingkan BN, kunci pintu, on the spot. Umum sahaja BN kalah PRU-14, terus dikunci pintu bangunan. Kita ini jadi tak tentu arah nak ambil barang kita. Pen pun tak boleh ambil. Pekerja di pejabat YB (UMNO) ini, pusat khidmat semua mengalami pengalaman sama.
DAP tak peralatkan saya – Young Syefura
MINGGUAN: Ada mendakwa YB dijadikan alat DAP tarik sokongan Melayu?
young syefura: Bila orang cakap saya ini alat, saya rasa orang memperkecilkan diri saya. Bagi saya DAP adalah platform yang memberi ruang kepada wanita dan anak muda yang mana itu saya lah, seorang wanita yang juga anak muda. Saya rasa kami saling memerlukan satu sama lain untuk saya menunjukkan wanita dan anak muda, ada suara yang boleh kita bawa.
Sejarah keluarga YB datang dari pada pelbagai latar politik. Mereka tak marah masuk DAP?
Keluarga saya memang bercampur ideologi politik. Dulu kita tidak ada parti lain, hanya UMNO atau Pas. Sejak kecil saya ikut mak dan ayah pergi ke ceramah Pas, ikut program Dewan Muslimah.
Tapi bila berlaku peralihan, dah masuk ke kumpulan lain, keluarga saya pun menyertai parti Amanah. Abang saya sekarang sudah tidak berada dalam UMNO. Tetapi mereka semua bersikap terbuka. Mereka terkejut, tetapi mereka okay.
LAYANAN DAP TERHADAP ORANG MELAYU
Bagaimana layanan ahli DAP terhadap orang Melayu dalam parti?
Orang ramai tanya soalan itu. Sebenarnya sangat baik. Tidak ada masalah. Bila kita ada mesyuarat atau pertemuan, perkara yang paling mereka fikirkan paling utama adalah makanan. Menyediakan makanan halal dan sebagainya. Mereka concern tentang itu. Saya rasa tiada isu mengenai perbezaan kaum, kita sebagai rakyat Malaysia dari kecil pun dah lama bergaul satu sama lain. Kita bersikap terbuka dan mereka juga bersikap terbuka dengan kita.
Bagaimana dengan majoriti pucuk pimpinan DAP?
DAP ini sejak 1960-an lagi. Sewaktu fasa awal penubuhan, ramai pemimpinnya terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat. Ketika itu ada kaum Melayu, India yang rata-rata aktif sejak zaman Gerakan Kesatuan Pekerja. Maknanya golongan bawahan dan sebagainya. Tetapi akibat pelbagai perkara dan sejarah, contohnya 13 Mei 1969, ia mula wujudkan sentimen.
Kalau kita lihat di luar bandar, sentimen itu sehingga sekarang bermain-main, mereka masih percaya dengan apa yang berlaku. Jadi saya rasa mungkin sebab itulah tapi jangan kata langsung tidak ada pemimpin Melayu dalam barisan kepimpinan DAP, masih ada. Sehingga menjadi Naib Pengerusi, malah Ahli Parlimen Raub juga Naib Pengerusi dalam Jawatan Kuasa Pusat (CEC). Jadi bagi saya, mungkin kita perlu beri sedikit masa, mungkin 10 tahun lagi agar DAP jadi lebih inklusif.
PERATUSAN MELAYU DALAM DAP
Berapa peratus Melayu dalam DAP?
Saya tak pasti, tapi kita ada lebih sembilan orang wakil rakyat Melayu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Seorang Parlimen dan selebihnya di DUN.
LOMPAT PARTI
Pernahkah YB ditawarkan untuk lompat parti?
Ada. Dari dua parti. Tetapi kalau kita lihat dalam Facebook dan media sosial saya yang lain, orang awam ini mereka memuji. “Wah! Bagusnya YB buat kerja.” Tapi di penghujung komennya, mereka akan kata: “Kan bagus kalau YB lompat parti, pergi parti A, B, C dan lain-lain. YB tak sesuai dalam DAP.”
DAP SOKONG ANWAR ATAU MAHATHIR?
Antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir, siapa DAP sokong?
Kalau pandangan individu, saya lebih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kalau parti pula, saya tidak pasti. Tapi saya rasa, lebih kepada siapa yang banyak dapat sokongan.
Siapa antara dua pemimpin itu yang ada lebih banyak sokongan?
Saya tidak tahu sebab masing-masing tak selesai lagi. Jadi pada saya orang yang lebih dapat menarik sokongan, maksudnya dia mempunyai kuasa lebih, jadi dialah yang akan kita (DAP) pilih sebagai pemimpin kita.
STRATEGI PARTI
Ada YB rasa menyesal masuk DAP?
Menyesal itu adalah sikit, bukan menyesal sebab masuk DAP, tapi menyesal kerana pemikiran orang keliling masih sempit. Mereka tidak boleh menerima apa sahaja perubahan yang kita cuba lakukan. Mereka masih melabelkan kita sebagai Melayu pengkhianat, Melayu yang tidak bermaruah, Melayu yang lupa jati diri, ada yang melabel kita sebagai kafir. Malah ada yang memanggil dengan gelaran yang tidak manis bagi seorang wanita. Tuduhan seperti ini datang kerana saya datang daripada parti DAP. Kalau parti lain seperti PKR atau UMNO, mungkin saya tidak dihina.
Apa strategi DAP masa hadapan?
Kita perlu lebih ramai anak Melayu untuk bersama dengan DAP. Ini bagi memastikan sentimen ini tidak ada. DAP memang terbuka, tetapi perlu lebih terbuka lagi menerima pandangan, malah perlu tunjukkan bahawa DAP ini untuk semua kaum.
Kalau DAP didominasi Melayu, DAP akan jadi parti Melayu macam UMNO?
Sebab itu saya kata, kita perlukan lebih kurang 10 tahun lagi untuk menampakkan hala tuju DAP yang lebih inklusif dan merangkumi semua kaum, khususnya Melayu. Politik hari ini, pelbagai kemungkinanlah.
Hari ini kita kata kita benci Pas, esok tengok UMNO dengan Pas, tak pernah siapa pun terfikir. Jadi kalau kita kata kita benci tapi tiba-tiba kita perlu bekerjasama untuk memastikan negara lebih baik, kenapa tidak? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Yang penting hari ini, kita bekerja. – Mingguan Malaysia










