Cari penawar `sengatan' Tun Mahathir - Utusan Malaysia

Cari penawar `sengatan’ Tun Mahathir

Rais Yatim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH:
KEPADA sebahagian orang termasuk wartawan macam kami, akan melaporkan sejarah dari peristiwa dan isu semasa yang berlaku di sekeliling.
Tetapi berbeza dengan nilai yang ada pada Tan Sri Dr. Rais Yatim, 78. Beliau tidak sekadar pencatat tetapi terlibat bersekali dalam sejarah tanah air itu.
Berkhidmat di bawah enam perdana menteri (kecuali Tunku Abdul Rahman) daripada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah kini Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rais muncul dalam wawancara ini bercakap pasal kemelut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Bersatu susulan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL, ASLIZA MUSA dan FAHMI FAIZ serta jurugambar MOHD. IQBAL ROSLI, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu dengan tenang berkata:
“Ramai orang tak nak komenkan? Saya kira saya dengan Tengku Razaleigh (Hamzah) sahaja yang boleh komen Tun Mahathir sebab kami mengenali beliau lebih daripada kebanyakan pemimpin.
“Jadi, saya dah tengok keadaan, cara, matlamat dan taktik politik beliau. Dalam konteks itu saya cubalah jawab.” Berikut sedutan temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

MINGGUAN: Tan Sri tidak terperanjatkah bila Dr. Mahathir menubuhkan parti baharu – parti beliau yang kedua selepas Parti Bersatu?
RAIS: Saya terperanjat, sebabnya ada tiga. Pertama, Dr. Mahathir orang yang mula-mula bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan PPBM pada 2016. Melihat suasana penubuhan parti PPBM dahulu, saya tidak menyangka beliau sanggup mewujudkan satu lagi parti Melayu setelah begitu banyak pemusatan, pemerhatian dan juga pengisian kepada PPBM, yang kemudiannya disebut Bersatu.
Hemat saya sebagai salah seorang yang agak lama dalam arena politik tanah air, saya menjangkakan inilah parti Melayu yang mutakhir. Kalau nak bersama dengan UMNO ataupun Pas pun boleh, asalkan kerangka asas politik Melayu itu wujud dengan Tun Mahathir.
Yang kedua, saya tertanya-tanya, apakah matlamatnya? Kalau nak berasaskan Melayu, Islam, kita dah ada UMNO, Pas dan Bersatu.
Ketiga, saya merumuskan, Tun menubuhkan parti ini untuk matlamat sudut beliau sendiri. Saya gunakan perkataan sudut supaya tidak berbunyi tidak hormat. Apakah sudut beliau itu, belum lagi jelas. Tapi yang jelas, beliau menyatakan mungkin beliau menjadi Pengerusi manakala anaknya menjadi Presiden. Ini pada saya menjadi matlamat parti ini kepada Tun Mahathir.

Apa yang Tun Mahathir umumkan pada April 2016?

Parti Bersatu ini tempat orang Melayu berteduh buat selama-lamanya dan sesiapa yang tidak dapat bersama UMNO yang digelar kleptokratik, akan pindah kepada Bersatu.

Setiap hari sejak parti baharu Tun ini dilancarkan Jumaat 7 Ogos lalu ada sahaja ahli Bersatu dari cawangan dan bahagian keluar parti, tidak bimbangkah Bersatu?
Tidak. Sebab kita berasas kepada data. Kita ada 197 bahagian. Yang berucap meninggalkan parti kononnya cuma antara 24 dan 25 itupun jika termasuk Bahagian Rasah. Tapi saya dapati Rasah tak jadi (keluar parti), dengan itu hanya 24 bahagian sahaja. 24 per 197, pada saya itu angka kecil. Saya tak yakin parti baharu ini akan menyedut pengaruh besar sebab tidak ada benda baharu yang hendak dijual.
Sebab kedua kami tak gentar ialah mengumumkan sahaja keluar parti tiada hal. Yang penting ialah betulkah parti bahagian itu dibubarkan? Kalau nak bubar, perlu ada tiga per empat keanggotaan, baru parti itu bubar.
Jadi, di dalam Perlembagaan, sekiranya ketua tidak ada, timbalan naik. Kalau timbalan tiada, naib yang naik menjadi pemimpin sementara. Kalau naib tiada, ketua Armada, ketua Srikandi pun boleh (diangkat). Jadi bab itu tidak memberi satu gundah gulana kepada kita, malah daripada 197 itu, tolak 24 lah kata, maka Bersatu masih cekal dan berentiti besar untuk memperjuangkan saki baki perjuangan di bawah Perikatan Nasional atau di bawah Muafakat Nasional.

Dengan kedudukan kepimpinan Bersatu yang mengetuai kerajaan pusat dalam kedudukan tipis satu dua kerusi, kemelut keluar parti ini bukankah menambah keperitan ini? 

Saya fikir, betul telahan itu. Ada sedikit sebanyak kesannya, tidaklah adil dan tidak tepat kalau saya kata “oh tiada apa-apa”. Sedangkan kalau disengat penyengat pun, ada bengkaknya. Inikan pula disengat tebuan.
Tebuan itu, maksud saya Tun Mahathir lah, menyengat badan kita sendiri; tentulah ada kesan negatifnya. Tetapi gigitan Tun kali ini, saya suka nak menganalisis.
Gigitan dia dengan menubuhkan parti baharu ini, baru sekadar hendak memasukkan racun gigitan ke dalam badan politik Melayu dan ke dalam Bersatu. Kita mesti cari antidotnya (penawar). Ia bermakna, kalau digigit tebuan, ada ubatnya. Ubat itu ialah, orang Melayu kena tanya dia (Tun Mahathir), apa sebab berhenti sebagai Perdana Menteri. Kenapa berhenti sebagai Pengerusi parti sendiri, yang beria-ia kita sama-sama naikkan.
Jadi, itu antidot dan logika politiknya yang harus diberi oleh Tun Mahathir. (Beliau) mesti jawab soalan ini, parti (baharu beliau) ini untuk apa? Untuk Melayu ke, untuk Islam ke, atau untuk sudut yang saya sebutkan tadi.
Tapi saya nak tanya, Tun buat apa 22 bulan? Selain daripada janji nak beri (jawatan perdana menteri) kepada Anwar Ibrahim, lepas itu terhenti, tak jadi, lepas itu janji lagi, kemudian tidak jadi. Saya kira, 11 kali Tun janji, kemudian tarik semula janji itu tentang Anwar Ibrahim. Kemudian beliau kata orang Melayu pemalas. Impak ini amat menggerunkan.

Barangkali penubuhan parti baharu Tun Mahathir ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa cuak kepada UMNO dan Pas bahawa “bolehkah Tan Sri Muhyiddin bertahan”?
Saya tak boleh mengatakan jaminan itu boleh bertahan. Tapi bak kata orang, perbuatan mesti ada hasil. Tanpa perbuatan pun, hasilnya pun boleh jadi tiada.
Tan Sri Muhyiddin saya lihat tidak banyak beretorik politik, sebaliknya lebih banyak bekerja. Dan beliau lebih banyak menghasilkan tuntutan perut rakyat, dengan mengadakan pelbagai tindakan anti-Covid. Penjawat awam juga selesa dengan beliau. Orang kampung dapat mengidentitikan perjuangan Islam beliau dengan caranya. Ini tidak perlu untuk dilaungkan lagi. Ini tiada pada Tun Mahathir semasa beliau jadi perdana menteri, rakyat tak nampak perkara besar yang dilakukan selama 22 bulan. Bagi seseorang nonagenarian iaitu individu yang menjangkau usia antara 90 sehingga 99 tahun, takkan lah sampai hatinya untuk menjatuhkan seseorang (Muhyiddin) yang sama berjuang dengan beliau melalui kuat kuasa Parlimen.

PINDAAN PERLEMBAGAAN KEDAULATAN RAJA MELAYU

Seperkara lagi, bukankah ketika itu Pakatan Harapan termasuk Tun Mahathir sendiri sentiasa berpaksikan rule of law dalam pentadbiran?
Tun Mahathir tidak begitu menerima apa yang disebut sebagai konsep rule of law (kejituan undang-undang) sebenarnya. Beliau sebut lah, tapi tidak punya penerimaan konsep sebenar, beliau tidak pernah huraikan. Misalnya peristiwa beliau mengetepikan para hakim pada tahun 1988. Cara beliau mengetepikan beberapa aspek kedaulatan raja-raja Melayu, tidak pernah dibuat analisis kembali. Misalnya, adakah Minit mesyuarat Majlis Raja-Raja dipadankan? Ini penting untuk menentukan bahawa keputusan Majlis Raja-Raja pada tahun 1993 itu mengesahkan perbuatan pindaan perlembagaan 1993? Saya berpendapat, kalau diambil semula minit tahun 1993, satu ledakan besar mungkin berlaku. Tapi itu bab lain lah kini kerana peristiwa itu sudah melebihi dua dekad.
Masa itu, saya berdepan dengan sembilan orang raja Melayu, di Bukit Istana Negeri Sembilan. Saya memberi taklimat dan mengesyorkan pindaan itu tidak seharusnya berlaku. Masa itu saya Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Pindaan apakah yang Tan Sri maksudkan?
Pindaan Perlembagaan. Perkara 181 yang mengatakan kedaulatan Raja-raja Melayu adalah muktamad dan mereka tidak boleh disaman, tidak boleh dibawa ke mahkamah. Selepas 1993, raja boleh disaman sekiranya melakukan sesuatu jenayah kecil atau besar, asalkan Peguam Negara memberi perakuan. Jadi, ini berkait hal dengan Perkara 181, 182 Perlembagaan. Alhamdulillah, saya ingat sebab saya terlibat dan saya memang pengkaji Perlembagaan.
Saya mengatakan, kalau dibawa balik peristiwa itu dengan memadankan minit Majlis Raja-Raja, saya fikir Tun Mahathir mungkin kena menghuraikan beberapa persoalan terhadap raja-raja Melayu yang kini sudah hilang sebahagian kekebalan mereka dari sudut undang-undang.

Adakah peristiwa itu boleh dikembalikan semula?
Pada hemat saya, boleh. Dan di bawah kuat kuasa Perlembagaan, dengan Mahkamah Persekutuan boleh membuat review atau ulang­kaji kepada kes tersebut dan membuat keputusan. atau pan­dangan judicial terhadap perun­tu­kan dan perkara-perkara yang telah dibuat kepada raja-raja Melayu itu. Pada saya, isu itu belum tutup.

Adakah ia memerlukan dua pertiga undi di Parlimen?
Ya. Ia juga boleh dibawa dan boleh dipersaksikan semula. Ambil minit Majlis Raja-Raja, bersetuju atau tidak Majlis Raja-Raja sebenarnya? Yang saya ingat, Almarhum Sultan Kelantan tidak setuju. Almarhum Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan juga tidak berkenan. Almarhum Raja Perlis juga tidak berkenan. Jadi, saya tidak dapat melihat minit yang kononnya sudah dimuktamadkan. Tapi itu kisah lama ya, yang berlaku pada 1993.

RAIS ‘BAKAR, BINA JAMBATAN’?

Tan Sri dikatakan sering ‘bakar jambatan’, bila bakar Tan Sri bina semula. Apa komen Tan Sri?

Apa ada pada tempayan
Kalau terbakar jadi abu
Apa ada pada jambatan
Kalau terbakar gantilah baru.

Tayangan cerita ini dah banyak kali dimainkan. Tahun 1987, Tun Mahathir memperkecilkan Raja-Raja Melayu, menganak tirikan bahasa Melayu dan budaya kita. Team B yang dikepalai Tengku Razaleigh membawa pembaharuan lalu mewujudkan S46. Kami meninggalkan UMNO. Saya boleh pulangkan batu buah keras kepada mereka yang suka perli dengan ungkapan ‘bakar jambatan’ itu. Saya Bersama UMNO sejak 1966. Pada 13 April 2018, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor umumkan saya dipecat dari UMNO. Sebabnya mudah. Saya mengesyorkan Jho Low ditangkap dan mesti dibicarakan bersabit skandal 1MDB yang melesapkan lebih RM42 bilion.
Ramai pemimpin meninggalkan parti asal lantaran perjuangan berubah.
Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Abdullah Badawi pun begitu dan ramai lagi. Jangan kelaskan Rais Yatim saja.
Tengku Razaleigh masuk dan keluar parti juga.
Saya tidak memohon masuk Bersatu. Saya diminta masuk Bersatu oleh Tun Mahathir. Tun Mahathir yang hantar Datuk Seri Mukhriz ke pejabat guaman saya di Kuala Lumpur sebelum Mei 2018.
Saya cuba fikir, mana saya tahu Tun Mahathir nak buat parti baharu balik.
Jadi, soal ‘bakar jambatan’ itu sudah jadi legenda cakap yang seperti gayung sudah disambut.
Saya hanya salah seorang pelaku pertengahan. Malah nak kata bawahan pun boleh. Dalam bahasa Inggeris boleh diolah sebagai also ran sahaja asalkan Melayu Bersatu dan teguh perjuangan serta hormati perundangan negara. Bagi saya, itu pedoman hidup dan perjuangan. –Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×