Wawasan umum kepemimpinan, Hamzah presiden, Rais dilantik pengerusi

Wawasan umum kepemimpinan, Hamzah presiden, Rais dilantik pengerusi

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengumumkan barisan kepemimpinan pusatnya yang menggabungkan tokoh politik veteran, bekas menteri, Ahli Parlimen dan golongan profesional.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dilantik sebagai Pengerusi manakala pengasas Gerakan Reset, Datuk Seri Hamzah Zainudin memegang jawatan Presiden parti itu.

Pelantikan berkenaan dibuat menerusi mesyuarat agung luar biasa Wawasan yang berlangsung di sini, semalam.

Bekas Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Tan Lek Khang pula dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Lima jawatan Naib Presiden diisi bekas Pengerusi Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon.

Dua lagi Naib Presiden ialah Datuk Mohd. Omar Mustapha dan bekas Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad memegang jawatan Ketua Penerangan.

Jawatan Bendahari Agung disandang Datuk Arifin Tobias manakala Mohd. Badrul Ezan Mohd. Yusof dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif.

Wawasan turut mengumumkan pelantikan 25 ahli jawatankuasa pusat termasuk Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah.

Terdahulu, Hamzah mengumumkan Wawasan sebagai platform rasmi Gerakan Reset ketika Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan pada 13 Jun lalu.

Senarai kepimpinan itu turut menyertakan pengesahan bahawa Wawasan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menerusi nombor pendaftaran PPM-004-07-08062009. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN