CUBAAN menggulingkan kerajaan negeri Sabah yang disifatkan sebagai gagal menyaksikan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan tidak sampai tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tindak balas terhadap cubaan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman untuk mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Musa mendakwa dia mendapat sokongan 33 ahli DUN serta mempunyai hak untuk membentuk kerajaan negeri.
Namun, usahanya yang turut dicemari dengan tuduhan memberi rasuah dan tawaran pangkat tinggi, tidak kesampaian apabila Mohd. Shafie membubarkan DUN bagi membenarkan rakyat memilih tampuk pentadbiran menerusi PRN.
Kepincangan politik di Sabah heboh dibincangkan pelbagai pihak sejak beberapa minggu lalu dan semakin memuncak selepas barisan kepemimpinan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengunjungi Sabah.
Perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri boleh diibaratkan seperti ‘berjalan ke kedai aiskrim’ sejak beberapa bulan lalu. Kedah, Perak dan Johor sudahpun berdepan dengan perubahan kawalan parti politik sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Mac lalu.
Komposisi parti pemerintah di negeri-negeri itu sama rapuhnya seperti kaca.
Tindakan lompat parti pula dilihat seperti satu norma biasa seperti memakai pelitup muka di khalayak umum.
Perubahan pemimpin negeri dan pakatan politik lebih cepat berbanding kelajuan cahaya, malah ahli politik ketika ini dilihat seperti boneka.
Kesetiaan dan janji-janji manis yang dilemparkan turut ‘tenggelam dengan pantas’, menyebabkan kelangsungan politik bergantung kepada sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat.
Bagaimanapun, pengkhianatan politik di Sabah bukan perkara baharu. Selama berdekad-dekad, politik tikam belakang dan perubahan pakatan adalah perkara biasa seperti menukar lampin bayi.
Pada Julai 1990, Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat keputusan keluar dari pakatan Barisan Nasional dan beberapa episod yang lebih kurang sama turut berlaku dalam tempoh tiga dekad lalu.
Mimpi ngeri politik di Sabah yang merekodkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM88,042 juta iaitu keenam tertinggi di seluruh negara masih menjadikan negeri itu satu daripada negeri termiskin di Malaysia.
Sabah mempunyai purata pendapatan boleh guna hanya sebanyak RM3,788 pada tahun lalu, iaitu di atas Kelantan yang hanya memperoleh RM3,309 berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik.
Malah, Perak (RM3,803), Sarawak (RM3,994) dan negeri terkecil, Perlis (RM3,803) merekodkan jumlah lebih tinggi berbanding Sabah.
Realiti politik berjalan seiring dengan kadar kemiskinan menyebabkan pengundi yang kurang berkemampuan sering ‘mencari’ ahli DUN kawasan masing-masing untuk mendapatkan bantuan perbelanjaan harian termasuk persekolahan dan perubatan.
Keadaan itu lebih banyak berlaku di Sabah berbanding negeri lain kerana duit boleh membeli undi.
Jika boleh dikaitkan, ‘tawar-menawar kerusi politik’ dan pengkhianatan adalah satu kebiasaan di negeri-negeri miskin, berbeza dengan Kuala Lumpur yang merekodkan purata pendapatan boleh guna sebanyak RM8,834 dan berdepan dengan tekanan politik yang ‘sedikit ringan’.
Kelemahan pentadbiran di peringkat persekutuan dan negeri membawa akibat yang lebih besar dengan menyaksikan pelabur asing mengeluarkan kira-kira RM18 bilion daripada pasaran ekuiti negara.
Pasaran itu hanya ‘diselamatkan’ oleh pelabur tempatan yang melabur kira-kira RM10 bilion ke dalam pasaran saham dan keadaan ini kemungkinan besar disebabkan oleh lebihan wang tunai susulan pelaksanaan moratorium selama enam bulan.
Sebaik sahaja moratorium berakhir, pasaran ekuiti negara mungkin pincang.
PRN Sabah akan dipantau dengan teliti bagi melihat apa yang bakal berlaku selepas ini termasuk kemungkinan pilihan raya umum segera.
Keadaan politik semasa yang melanda negara mencetuskan ketakutan rakyat apabila harapan dan kepercayaan mereka semakin diketepikan.
Ahli politik mungkin mengeluarkan duit, namun negara sebenarnya menderita.
Demokrasi semakin mati.










