BATU PAHAT: Abu Bakar Hassan merupakan seorang juruterbang yang mempunyai pendapatan lebih RM35,000 sebulan, namun akibat pandemik Covid-19, kerjaya yang dibina selama 40 tahun itu musnah dalam sekelip mata.
Walau bagaimanapun, kegagalan berkenaan tidak mematahkan semangat anak jati Batu Pahat itu untuk bangkit semula dengan mengusahakan tanah seluas kira-kira dua hektar di Parit Badak, Seri Medan di sini dengan pelbagai tanaman.
Menurut Abu Bakar, 60, perkhidmatannya sebagai juruterbang di Malaysia Airlines Berhad (MAB) ditamatkan 31 Mei lalu dalam usaha syarikat penerbangan itu mengurangkan beban kewangan susulan penularan Covid-19.

Walaupun sedih, bapa kepada tujuh orang anak itu menjelaskan, dia tidak boleh terus meratap nasibnya itu tetapi perlu bangkit semula dengan segera demi keluarga.
“Saya terus ambil keputusan mengusahakan tanah yang dibeli dengan harga RM45,000 pada 1993 dengan tanaman seperti durian, kelapa sawit, kelapa, buluh, ubi dan cili sejak awal bulan ini.
“Sebenarnya memang niat saya untuk mengerjakan tanah ini selepas bersara tetapi pandemik ini memaksa saya mengusahakannya sekarang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Abu Bakar mengakui, mengusahakan kebun memerlukan kesabaran tinggi kerana pulangannya tidak segera berbanding semasa makan gaji.
“Untuk permulaan, pendapatan hasil kebun ini hanyalah RM3,000 sebulan sedangkan saya mempunyai pelbagai komitmen lain termasuk menyara empat orang anak yang masih belajar.
“Saya sebenarnya mempunyai banyak perancangan terhadap tanah ini termasuk meluaskan kepada ternakan ikan, membela kambing dan ayam serta membuka gerai makanan dalam masa terdekat. Insya-Allah dengan berkat kesabaran, saya pasti akan berjaya,” ujar bekas juruterbang berpengalaman 19,800 jam penerbangan ini.
Ditanya mengapa memilih pertanian, Abu Bakar berkata, dia melihat industri pertanian khususnya makanan mempunyai peluang lebih terjamin.
“Negara kita masih mengimport terlalu banyak produk pertanian dan makanan dan saya rasa saya boleh menyokong industri makanan tanah air.
“Lagi satu, saya tidak perlu fikir panjang kerana ia hanya perlu jaga baja dan sumber air. Selain itu, saya suka ketenangan dan tidak suka tinggal di bandar, apabila duduk sini tengok pokok pada setiap hari, hati saya rasa tenang,” katanya.
Beliau mengajak rakyat Malaysia yang mengalami nasib sepertinya untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian dan makanan kerana dilihat lebih menjamin masa depan. – UTUSAN










