KUALA LUMPUR: Industri maritim menyambut baik cadangan penubuhan pasukan petugas khas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, ia bagi memperkukuh penguatkuasaan serta kutipan cukai di pelabuhan strategik negara.
Menyifatkan ia sebagai langkah tepat dalam meningkatkan ketelusan, pematuhan peraturan dan melindungi hasil kerajaan, katanya lagi, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu berkaitan penguatkuasaan kastam serta memastikan tahap akauntabıliti yang lebih tinggi dalam operasi pelabuhan.
“Saya amat menghargai apabila kebimbangan yang telah dibangkitkan melalui saluran sewajarnya kini diberi perhatian serius daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Penubuhan pasukan petugas ini merupakan satu perkembangan positif. Saya berharap usaha ini akan menghasilkan prosedur lebih jelas, penguatkuasaan lebih berkesan serta mewujudkan persaingan yang adil kepada semua pengendali sah dalam industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM dan JKDM mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau penguatkuasaan serta kutipan cukai di pelabuhan strategik di seluruh negara susulan perbincangan antara kedua-dua agensi mengenai usaha memperkukuh penguatkuasaan kastam dan membendung ketirisan hasil.
Kedua-dua agensi turut bertukar pandangan mengenai prosedur pemeriksaan kastam, cabaran birokrasi dan taktik sindiket mengelak cukai, termasuk aktiviti penyeludupan, pengisytiharan palsu barangan import dan pemalsuan dokumen yang dikemukakan di bawah pelbagai kelulusan.
Sebelum ini, Jeyenderan membangkitkan kebimbangan terhadap amalan mencampurkan kargo minyak di dalam tangki simpanan darat selepas proses pelepasan daripada kapal semasa operasi pemindahan kapal ke kapal, yang menurut beliau boleh menimbulkan isu dari segi pematuhan peraturan, dokumentasi dan percukaian jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.
Beliau berkata, apabila minyak mentah daripada konsainan yang berbeza dicampurkan di dalam tangki simpanan darat, ciri fizikal kargo akan berubah dan sekiranya dokumentasi berkaitan tidak dikemas kini mengikut perubahan tersebut, ia boleh menyebabkan percanggahan dalam pengelasan kargo, penilaian nilai serta pentaksiran cukai.
Jeyenderan berharap pasukan petugas yang dicadangkan itu dapat membantu mewujudkan prosedur lebih jelas, memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan tadbir urus dalam ekosistem pelabuhan Malaysia, selain melindungi kepentingan pemain industri yang mematuhi undang-undang.
Beliau berkata Maritime Network terus komited dalam memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan dan akan menyokong usaha memperkukuh ketelusan, pematuhan serta penguatkuasaan, sekali gus membolehkan agensi terbabit melaksanakan tanggungjawab mereka secara bebas, telus dan profesional.-UTUSAN










