KUALA LUMPUR: Defisit fiskal negara dijangka 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2026 berada di bawah paras 3.7 peratus pada 2025.
Unjuran itu disokong oleh rekod pengurusan fiskal berhemat kerajaan yang konsisten serta jangkaan pertumbuhan KDNK nominal lebih kukuh tahun ini berikutan kesan asas rendah.
Ketua Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, hutang statutori, yang dianggarkan sebanyak 61.9 peratus daripada KDNK pada akhir Mac 2026, dijangka kekal dalam had siling hutang iaitu 65.0 peratus.
Katanya, walaupun peningkatan nisbah khidmat hutang perlu dipantau, risiko kekal terkawal berikutan bahagian hutang luar negara yang rendah serta struktur hutang yang sebahagian besarnya bersumberkan domestik.
“Kerajaan menjangkakan defisit fiskal pada 2026 mencapai 3.5 peratus, lebih rendah berbanding 3.7 peratus pada 2025.
“Namun, pencapaian sasaran ini mungkin mencabar susulan peningkatan subsidi bahan api.
“Kami berpandangan sasaran tersebut masih boleh dicapai sekiranya beberapa gabungan daripada empat keadaan berlaku iaitu kutipan hasil lebih kukuh pada separuh kedua 2026 berbanding unjuran belanjawan, pertumbuhan KDNK nominal yang lebih tinggi penguatkuasaan fiskal yang lebih ketat dan peningkatan hasil bukan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Taklimat Media Mengenai Tinjauan Ekonomi Mikro bagi Separuh Kedua 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagaimanapun, sasaran defisit itu mungkin lebih mencabar sekiranya berlaku empat senario.
“Ia merangkumi pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan dengan lebih pantas akibat tekanan luaran dan hasil berkaitan komoditi terjejas susulan peningkatan premium perang yang lebih tinggi.
“Ia juga termasuk kejutan luaran memberi kesan kepada kutipan hasil pada separuh kedua 2026 dan permintaan luaran semakin merosot, sekali gus menjejaskan prestasi eksport Malaysia,” jelasnya.
Firdaos berkata, secara keseluruhan, bank berpandangan kedudukan fiskal Malaysia kekal stabil secara asasnya walaupun perbelanjaan meningkat dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
“Walaupun usaha konsolidasi fiskal kerajaan persekutuan banyak bergantung kepada peningkatan kutipan hasil serta memastikan pertumbuhan perbelanjaan kekal selari dengan sasaran defisit fiskal.
“Strategi ini perlu terus memberi tumpuan kepada mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi ketika tekanan luaran semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN










