ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita etnik Rohingya berusia 19 tahun ditahan setelah disyaki membuang janin yang baru dilahirkannya di dalam tandas sebuah hotel di Bukit Indah, di sini awal bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M. Kumarasan berkata, polis menerima maklumat mengenai penemuan janin yang dibungkus dalam plastik di sebuah lorong di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Katanya, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan janin kira-kira pukul 4 pagi hari yang sama dan wanita terbabit di sebuah hotel di Bukit Indah.
“Siasatan mendapati janin yang ditemui adalah anak kepada suspek wanita yang baru dilahirkan hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.
“Suspek dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna hitam dan membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kumarasan, hasil semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah.
Tambahnya, lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 8 Julai lalu manakala wanita terbabit ditahan reman selama 14 hari sehingga esok mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan suspek wanita didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala suspek lelaki dijadikan saksi pendakwaan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali,” ujarnya.–UTUSAN










