KUALA LUMPUR, Malaysia, 2 April 2026 /PRNewswire/ — BOH berasa amat berbesar hati apabila dijemput menyertai inisiatif Dana Warisan Khazanah Nasional di Bangunan Sultan Abdul Samad, antara mercu tanda Malaysia paling ikonik dengan keindahan seni bina Moorish yang berdiri megah sebagai saksi perjalanan sejarah negara.
Pasukan BOH: Caroline Russell, Pengerusi Eksekutif (kiri), bersama Aina Ramly, Ketua Pemasaran dan Jason Foo, Ketua Pegawai Eksekutif (kanan) menunjukkan karya seni cemaran teh.
Inisiatif Dana Warisan ini merupakan sebahagian daripada projek Warisan KL yang lebih menyeluruh untuk memelihara dan memperkasakan semula aset warisan negara dengan memberi nafas baharu supaya dapat dimanfaatkan sebagai ruang yang inklusif, dinamik dan mempunyai fungsi yang lestari. Dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Warisan KL menyatukan agensi kerajaan, GLC, GLIC, rakan sektor swasta, dan komuniti dalam usaha mengubah bangunan warisan kepada platform yang menghubungkan masa lalu dengan masa kini, memupuk perpaduan, menggalakkan penglibatan komuniti – termasuk pengunjung dan pelancong – selain memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Kewujudan BOH di Bangunan Sultan Abdul Samad menandakan adanya hubungan sejarah yang terjalin sejak awal pembentukan Kuala Lumpur. Keluarga Russell, pengasas BOH, telah menjadi sebahagian daripada perjalanan pembangunan Tanah Melayu sejak 1890, apabila John Russell, yang lebih dikenali sebagai ‘Jack’, tiba di Negeri-Negeri Selat sebagai Pencetak Kerajaan Selangor. Berkhidmat di bawah Residen British di Selangor, Jack memainkan peranan penting mendokumentasikan tadbir urus Tanah Melayu, infrastruktur dan kehidupan sosial pada peringkat awal dahulu, ketika Pejabat Kerajaan, yang kini dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad, berada di tengah-tengah pusat pentadbiran negara.
Sejak awal lagi, keluarga ini terlibat secara aktif dalam pembangunan Tanah Melayu yang merangkumi pelbagai bidang daripada pencetakan, kejuruteraan, pembinaan, perlombongan, pertanian sehinggalah perdagangan. Legasi ini berterusan apabila J.A. Russell, salah seorang anak Jack, menubuhkan BOH Plantations pada 1929, merintis pembukaan ladang teh tanah tinggi pertama Tanah Melayu di Cameron Highlands sekaligus menjadi asas kepada jenama teh paling digemari di Malaysia.
"Penyertaan dalam inisiatif Warisan KL di Bangunan Sultan Abdul Samad ini sangat bermakna bagi BOH," kata Caroline Russell, Pengerusi BOH. "Ia bukan sahaja memberi ruang untuk meraikan legasi kami bahkan naratif lebih besar tentang perkembangan Malaysia, yang dibentuk oleh manusia, tempat dan sejarah yang dilakari bersama."
"Perjalanan kami di Tanah Melayu bermula pada 1890, ketika bangunan yang istimewa ini menjadi lambang pentadbiran, kemajuan dan pembentukan sebuah negara," tambahnya. "Berkongsi kisah BOH dalam mercu tanda yang telah menyaksikan transformasi Malaysia menjadi peringatan bahawa warisan bukanlah sesuatu yang statik. Ia adalah khazanah berharga yang kita bawa ke hadapan, pelihara dan wariskan dengan penuh makna kepada generasi akan datang. Kami harap pengunjung dapat melihat bagaimana warisan diteruskan, bukan sekadar di dinding sejarah, tetapi juga dalam idea, nilai dan ritual harian, seperti berkongsi secawan teh," katanya.
Hampir sedekad bertapak dalam warisan Malaysia, sejarah BOH ini mencerminkan keusahawanan, ketahanan dan kelestarian jangka panjang – nilai-nilai yang selaras dengan komitmen Warisan KL terhadap pembinaan negara yang mampan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, BOH mempersembahkan pameran yang dipilih dengan teliti, yang menceritakan warisannya dari tahun 1890 hingga sekarang, membawa pengunjung menelusuri perjalanan warisan dan pembabitannya dalam pembangunan Malaysia. Bahkan pengunjung juga boleh membawa pulang sebahagian daripada warisan bermakna ini melalui teh ikonik BOH, yang boleh dibeli di ruang jualan di situ.
"Kami berharap kisah BOH ini dapat menginspirasikan rakyat Malaysia untuk kembali menghargai masa lalu sambil melangkah yakin menghadapi masa hadapan," tambah Caroline.
Ketika BOH menghampiri satu abad kecemerlangan dalam penghasilan teh, penyertaannya dalam projek pemerkasaan semula ini mengukuhkan lagi komitmentnya terhadap warisan, kelestarian dan komuniti – membentuk legasi yang terus mekar seiring perkembangan negara. BOH…. Bru untuk Masa Hadapan.
Maklumat Pengunjung
- Lokasi: Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur
- Akses: Galeri BOH dibuka kepada orang awam dan kemasukan adalah percuma
- Waktu Operasi: Setiap hari, jam 9.00 pagi – 6.00 petang
Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/4925849_MS25849_6










