ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Johor 2027 yang mencatatkan lebihan atau surplus sebanyak RM2.33 juta.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ itu mengunjurkan hasil negeri sebanyak RM3.076 bilion berbanding keseluruhan perbelanjaan berjumlah RM3.074 bilion.
Menurut beliau, Johor turut melakar sejarah baharu apabila dijangka mencatat perolehan hasil negeri mencecah lebih RM3 bilion menjelang hujung tahun ini.
“Sehingga hari ini, rekod penerimaan hasil negeri mencapai RM2.8 bilion, bersamaan 110 peratus daripada anggaran asal. Pertambahan hasil akan dimanfaat bagi membantu lebih ramai rakyat memerlukan khususnya golongan miskin, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Insya-Allah, buat pertama kali dalam sejarah Johor, hasil negeri akan mencecah lebih RM3 bilion pada penghujung tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2027 sempena sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Onn Hafiz, hampir separuh daripada keseluruhan perbelanjaan 2027, iaitu RM1.53 bilion atau 49.77 peratus akan diperuntukkan bagi pembangunan pelbagai projek di kesemua 10 daerah seluruh negeri.
“Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding RM600 juta atau 34.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan yang diperuntukkan bagi tujuan sama pada 2023. Jumlah itu akan membantu memperkukuh infrastruktur sekaligus memastikan pertumbuhan ekonomi dirasai rakyat Johor.
“Prestasi ekonomi Johor terus kukuh apabila kadar pertumbuhan meningkat daripada 4.1 peratus pada 2023 kepada lapan peratus pada tahun lalu, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM170.9 bilion.
“Nilai pelaburan diluluskan pula meningkat 2.6 kali ganda daripada RM43 bilion kepada RM110 bilion tahun lalu, manakala bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, Johor sekali lagi merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia berjumlah RM99.7 bilion,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu, pencapaian ekonomi itu turut mewujudkan lebih 24,000 peluang pekerjaan baharu selain mengekalkan kadar pengangguran negeri pada paras rendah iaitu 2.3 peratus.
“Belanjawan Johor 2027 menggariskan 284 tekad yang akan dilaksana berlandaskan Enam Teras Maju Johor bagi memastikan kemajuan ekonomi dapat diterjemah kepada manfaat seluruh rakyat
“Kita bukan sahaja mahu menjadikan Johor negeri maju menjelang 2030, tetapi turut berhasrat menjadikannya negeri yang sejahtera dan sentiasa dilimpahi keberkatan,” katanya.-UTUSAN











