Partikel mineral dibawa hujan lebat punca Sungai Perak kebiruan

Partikel mineral dibawa hujan lebat punca Sungai Perak kebiruan

PIHAK berkuasa membuat pemeriksaan terhadap air Sungai Perak dan mengesahkan ia selamat digunakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Partikel mineral yang dibawa masuk ke dalam sistem sungai susulan hujan lebat luar biasa serta perubahan aliran air dipercayai antara faktor berlakunya kejadian sebahagian Sungai Perak di Hulu Perak menjadi biru baru-baru ini.

Pakar sains alam sekitar, Dr Abdul Rani Abdullah berkata, Hulu Perak merupakan kawasan yang secara semula jadi kaya dengan mineral yang boleh dibawa bersama air larian ke dalam sistem sungai ketika hujan.

Menurutnya, keadaan itu menjadi lebih ketara apabila jumlah hujan meningkat kerana lebih banyak air larian melalui kawasan tadahan dan berpotensi membawa bersama lebih banyak partikel mineral ke dalam sungai.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, data taburan jumlah hujan di kawasan berkenaan ketika berlakunya fenomena air biru, meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh sebelumnya.

“Apabila hujan, kita kaitkannya dengan air larian. Kesan air larian lebih besar apabila sumbernya merupakan kawasan terbuka,” katanya dalam taklimat kepada media baru-baru ini.

Abdul Rani yang juga Profesor Adjung Jabatan Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagaimanapun berkata, kehadiran mineral dan hujan sahaja tidak mencukupi untuk menyebabkan air sungai sentiasa kelihatan biru kerana keadaan aliran air turut memainkan peranan.

“Air tidak bertukar menjadi biru sepanjang masa. Ia berlaku dari semasa ke semasa dan bergantung kepada beberapa faktor yang perlu wujud pada masa yang sama.

“Mineral itu perlu ada, kepekatannya perlu mencukupi dan keadaan air juga perlu sesuai. Apabila faktor-faktor ini berlaku pada masa yang sama, barulah fenomena itu dapat dilihat,” katanya.

Menurutnya, Sungai Rui yang lebih sempit mempunyai aliran lebih deras, tetapi apabila memasuki Sungai Perak yang lebih lebar, aliran air menjadi perlahan.

“Apabila aliran menjadi perlahan, ia memberi peluang kepada mineral tertentu untuk berkumpul atau berada di sesuatu kawasan untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.

Dalam keadaan itu, partikel mineral yang halus boleh kekal terampai di dalam air. Apabila terkena cahaya, berlaku penyebaran dan pantulan cahaya yang menyebabkan badan air kelihatan kebiruan.

Beliau berkata, mineral seperti tembaga, besi, aluminium dan silika boleh mempengaruhi warna air, manakala saiz partikel turut mempengaruhi bagaimana cahaya tersebar di dalam air.

Abdul Rani berkata, fenomena badan air kelihatan kebiruan akibat keadaan mineral tertentu bukan sesuatu yang hanya berlaku di Sungai Perak, sebaliknya pernah diperhatikan di kawasan lain termasuk di Bau, Sarawak, Semenyih, Selangor dan Bukit Ibam, Pahang.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa fenomena itu berpunca daripada kegiatan perlombongan unsur nadir bumi (REE), Abdul Rani berkata, kejadian air biru pernah direkodkan sekitar 2019, iaitu sebelum aktiviti berkenaan dijalankan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna aktiviti perlombongan boleh diketepikan sepenuhnya sebagai antara penyumbang kepada bahan mineral yang memasuki sistem sungai.

“Ini kerana sebarang aktiviti pembukaan tanah boleh menyebabkan bahan dari permukaan tanah dibawa oleh air larian ke sungai. Ia bukan sahaja melibatkan perlombongan, tetapi juga aktiviti lain seperti pembukaan tanah untuk pertanian.

“Sudah tentu kawasan perlombongan adalah salah satu sumber yang tidak boleh kita ketepikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini