KUALA NERUS: Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2026–2030 menjadi hala tuju baharu dalam pemerkasaan pembangunan luar bandar.
Sebanyak 20 strategi dan 49 inisiatif dirangka bagi memacu pembangunan luar bandar secara bersepadu dan mampan dengan sasaran manfaat kepada 8.17 juta penduduk desa, iaitu kira-kira 24 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.
Pelancarannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah sempena sesi Permukiman KKDW dan Permukiman Syarikat Milikan Agensi KKDW Tahun 2026 di sini, Ahad lalu.
Ahmad Zahid berkata, pelan strategik berkenaan menjadi pemacu kepada agenda pemerkasaan desa yang lebih bersepadu, inklusif dan mampan.
“Pelan Strategik KKDW 2026–2030 dirangka selaras dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).
“Pelan ini memberi penekanan kepada lima kluster utama iaitu ekonomi desa, modal insan, jaringan prasarana, usahawan desa serta sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Pelan itu turut berfungsi sebagai dokumen panduan pelaksanaan program dan projek kementerian dengan penekanan terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan, akauntabiliti penggunaan sumber awam serta penghasilan impak langsung kepada rakyat.
Katanya, keupayaan KKDW melaksanakan anjakan strategik berkenaan turut disokong pencapaian hasil yang direkodkan sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), sekali gus menandakan peralihan kementerian daripada fasa perancangan kepada fasa pencapaian hasil.
“Antara pencapaian utama adalah penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus pada 2022 kepada 0.09 peratus pada 2024 manakala kadar kemiskinan luar bandar menurun daripada 12.9 peratus kepada 9.9 peratus dalam tempoh sama.
“Selain itu, kadar migrasi luar bandar ke bandar turut merosot kepada 0.5 peratus pada 2024 berbanding 2.4 peratus pada 2022, sementara kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KKDW mencatatkan kadar melebihi 98.7 peratus,” katanya.
Menurut beliau, pencapaian itu turut diterjemah melalui pelaburan besar dalam sektor prasarana luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM4.15 bilion disalurkan bagi melaksanakan 1,569 projek fizikal di seluruh negara.
Katanya, projek-projek berkenaan merangkumi pembinaan dan naik taraf jalan raya, sistem bekalan air, bekalan elektrik serta penyediaan kemudahan asas lain yang menjadi tunjang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat desa.
“Usaha memperkukuh aspek perumahan luar bandar turut diberikan keutamaan apabila hampir 10,000 unit Rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) berjaya dibina, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada lebih 40,000 penduduk luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan kediaman penduduk desa, malah memperkukuh akses kepada kemudahan asas serta membuka peluang ekonomi baharu di kawasan luar bandar.
Malah pencapaian tersebut membuktikan bahawa pendekatan berasaskan hasil dan pelaksanaan secara bottom-up, disokong oleh kerjasama merentas agensi, mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian dasar.
Ia bukan sahaja dalam KKDW dan agensinya, tetapi bersama rakan strategik seperti Felda, Majlis TVET Negara (MTVET), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta agensi dan jabatan berkaitan. – UTUSAN










