Tarique galas tugas berat terajui Bangladesh 

Tarique galas tugas berat terajui Bangladesh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Parti Islam terbesar di Bangladesh, Jamaat-e-Islami mengakui kekalahan dalam pilihan raya, walaupun sebelum ini mendakwa wujud masalah dalam pengiraan undi, sekali gus membuka jalan bagi pemimpin nasionalis, Tarique Rahman untuk menjadi Perdana Menteri baharu negara itu.

Menurut angka Suruhanjaya Pilihan Raya, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang diterajui  Tarique memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya pertama sejak kebangkitan berdarah 2024 yang menyingkirkan pemerintahan tegas Sheikh Hasina.

Kejayaan Tarique, 60, menandakan perubahan luar biasa bagi pemimpin yang hanya kembali ke Bangladesh pada Disember lalu selepas 17 tahun mengalami pengasingan di Britain, jauh dari gelombang politik di Dhaka.

Beliau merupakan pewaris antara dinasti politik paling berpengaruh di Bangladesh, selepas bapanya, bekas Presiden, Ziaur Rahman dibunuh pada 1981, manakala ibunya, Khaleda Zia pernah memegang jawatan Perdana Menteri tiga penggal dan menguasai politik nasional selama beberapa dekad.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus yang mengetuai negara sebagai pemimpin interim sejak 2024 berkata, Tarique akan membantu memandu negara ke arah kestabilan, keterangkuman dan pembangunan.

Gabungan BNP memenangi 212 kerusi berbanding 77 kerusi bagi gabungan yang diterajui Jamaat-e-Islami, dengan kehadiran pengundi dicatatkan sekitar 59 peratus. Hanya tujuh wanita dipilih secara langsung, namun 50 kerusi tambahan untuk wanita akan dinamakan daripada senarai parti.

Ketua Jamaat-e-Islami, Shafiqur Rahman, 67, sebelum ini berkata, beliau akan menuntut penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, mendakwa berlaku ketidaktelusan, namun sehari kemudian mengakui kekalahan.

“Dalam perjalanan demokrasi yang tulen, ujian sebenar kepimpinan bukan sahaja bagaimana kita berkempen, tetapi bagaimana kita menerima keputusan rakyat. Kami mengiktiraf keputusan keseluruhan dan menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Sheikh Hasina dan partinya, Awami League dilarang menyertai pilihan raya. Hasina, 78, yang dijatuhi hukuman mati secara in absentia atas jenayah kemanusiaan, mengeluarkan kenyataan dari India mengutuk pilihan raya itu sebagai haram dan tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, pemerhati pilihan raya antarabangsa menyifatkan pilihan raya itu berjaya sementara Kesatuan Eropah (EU) berkata, ia boleh dipercayai.

Penganalisis Crisis Group, Thomas Kean menegaskan kerajaan baharu kini berdepan cabaran besar, termasuk meningkatkan ekonomi, memastikan keselamatan dan meneruskan proses reformasi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×